Khairy Jamaluddin

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) akan mengeluarkan notis kesihatan cacar monyet (monkeypox) menerusi aplikasi MySejahtera mulai esok.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, pengembara yang tiba dari negara endemik monkeypox atau dari negara yang melaporkan kes monkeypox akan menerima notis kesihatan setiap hari selama 21 hari sebagai peringatan untuk membuat pemantauan kesihatan kendiri selepas mereka mengisi borang pra-pelepasan dalam aplikasi MySejahtera,

Katanya, tempoh 21 hari adalah tempoh inkubasi virus dan sekiranya bergejala penghidap hendaklah segera mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan berhampiran.

“Kebolehjangkitannya virus monkeypox ini amat tinggi sekiranya bergejala dan ini adalah satu yang kita boleh kawal melalui langkah kesihatan awam,” katanya dalam pada sidang secara hibrid dari Geneva, Switzerland, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan Khairy berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) tidak mempunyai perancangan untuk melakukan imunisasi vaksin secara besar-besaran membabitkan virus monkeypox.

Jelasnya, jika perlu ia hanya akan diberikan kepada kontak rapat atau kepada kes berkenaan dan pekerja kesihatan yang merawat mereka.

“Namun pada masa sama, ini adalah perkara yang membabitkan strategi negara dan saya dapat tegaskan di sini KKM mempunyai stok penimbal untuk keadaan seperti ini.

“Maksudnya kita bersedia jika virus cacar monyet ini menular dalam negara,” ujarnya beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast