Proses pelupusan abu Al-quran melibatkan 6 tan di Laut China Selatan oleh anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Jabatan Agama Islam (JAIP) serta sukarelawan Iman Care, hari ini

KUANTAN – Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) akan membina 12 pusat pelupusan al-Quran di negeri ini dalam masa terdekat.

Timbalan Pengarah JAIP, Datuk Zakaria Mohamed berkata, setakat ini Pahang mempunyai dua pusat pelupusan al-Quran di Pejabat Agama Islam Pekan dan di Temin Kraf, Jerantut.

Datuk Zakaria Mohamed

“Lokasi pusat pelupusan al-Quran masih dalam proses kerana relau perlukan orang yang pakar, setakat ini yang pakar di Temin menggunakan teknologi dari Jepun.

“Kos melibatkan RM38,000 bagi setiap alatan dan kini berjalan serta masih dalam tempahan untuk setiap daerah,” katanya selepas program pelupusan abu Al-Quran seberat 6 tan di Laut China Selatan menggunakan KD Sri Setia Indera Sakti milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), hari ini.

Tambah Zakaria, projek tersebut merupakan usahasama kali kedua bersama TLDM dan melibatkan kuantiti terbesar disebabkan pengumpulan bahan kalam suci tersebut yang terkesan akibat banjir.

“Pahang dilanda banjir dua kali pada hujung tahun dan awal tahun, jadi pengumpulan dan pelupusan berganda daripada sebelum ini.

“Sebanyak 11 daerah dilanda banjir tempoh hari kecuali Cameron Highlands sebab tidak kena banjir, manakala daerah terbanyak melibatkan di sekitar Temerloh dan Bentong termasuk Maran,” katanya.

Tambahnya, kebanyakan daripada mangsa banjir tidak tahu cara selamatkan al-Quran dan tidak membuat persiapan awal ketika dilanda musibah banjir.

Laksamana Muda Datuk Zulhelmy Ithnain

Sementara itu, Panglima Wilayah Laut 1, Laksamana Muda Datuk Zulhelmy Ithnain berkata, kerjasama antara agensi tersebut merupakan tanggungjawab sosial TLDM di waktu aman.

“Sewaktu dimaklumkan hasrat cara pilih untuk melupuskan lalu kami buat persediaan. Salah satu tugas sampingan semasa aman.

“Walau pun bukan berpengkalan di Kuantan tetapi dari TLDM Lumut didatangkan khas untuk membantu bantu,” katanya

Abu Al-quran yang sudah diproses

Berdasarkan keputusan Muzakarah Fatwa Kebangsaan ke-30 pada 22 Ogos 1992, memutuskan kaedah pembakaran dan menghanyutkan abu ke laut, selain daripada penanaman abu.

Empat langkah utama yang dipraktikan semasa proses pelupusan isi kandungan naskah Al-Quran yang rosak dijalankan oleh kakitangan Unit Penapisan Media Bahagian Penyelidikan Agama JAIP.

Ia bermula dari proses pengumpulan, pembakaran bahan, pengurusan abu sehingga pelupusan ke laut. – MalaysiaGazette