Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri diminta tidak lagi berkompromi dengan mana-mana individu yang melompat parti dan mengekalkannya dalam jawatan Menteri Kabinet.

Tindakan itu perlu dilakukan sebagai tanda sokongan terhadap ketegasan menangani isu lompat parti dalam kalangan wakil rakyat menjelang pelaksanaan undang-undang lompat, kata Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Presiden UMNO itu berkata, ramai lagi ahli parlimen yang setia terhadap parti dan tidak melompat parti wajar dipertimbangkan untuk mengisi jawatan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi yang dipegang oleh Datuk Zuraida Kamaruddin.

Beliau mengulas tindakan Zuraida yang meninggalkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia untuk menyertai Parti Bangsa Malaysia.

Dalam kenyataannya, Ahmad Zahid juga mahu pindaan undang-undang Anti Lompat Parti disegerakan kerana tanpa pelaksanaannya krisis kepercayaan terhadap sistem demokrasi dan institusi politik bakal menyebabkan kadar peratusan mengundi semakin rendah pada pilihan raya umum akan datang.

Katanya, apabila Ahli Parlimen Ampang itu yang pernah keluar dari Parti Keadilan Rakyat, kemudian menyertai Bersatu dan kini keluar pula untuk menyertai PBM, ia memberi gambaran seolah-olah sangat mudah wakil rakyat di negata ini untuk bertukar parti mengikut selera dan cita rasa sendiri.

Sedangkan, tindakan lompat demi lompat parti ini sudah pasti mengecewakan rakyat dan menunjukkan tiada kawalan terhadap wakil rakyat dan bebas buat apa-apa sahaja

Malah, katanya, tindakan ini sebenarnya menyebabkan kepercayaan rakyat terhadap wakil rakyat dan parti politik semakin terhakis kerana ia seolah-olah mempermainkan undi rakyat. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Rakyat juga kecewa apabila mereka yg ada Kes Kes mahkamah Masih dibenarkn menjadi calon dlm pilihanraya.sepatutnya bukan saja undang undang lompat parti harus di ketengahkan dan dibahaskan di dewan rakyat,malah sepatutnya undang undang Dan syarat bg mereka yg ingin bertanding sbg calon wakil rakyat baik parlimen atau negeri patut dibahaskan serta terus di laksanakan.ini kerana mereka yg terlibat dgn Mana Mana Kes mahkamah telah melibatkn sikap Dan integriti bakal calon terbabit.mana ada rakyat yg inginkn wakil mereka dikeliling Kes Kes mahkamah.bagai Mana seorang wakil rakyat nak berkhidmat utk rakyatnya andai turun Naik mahkamah spanjang tahun? Sebaiknya pihak Suruhanjaya PilihanRaya sendiri mengenakan syarat tersebut kpd setiap bakal calon wakil rakyat pd masa akan datang.

Comments are closed.