Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahadzir Khalid berucap pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang di Dewan Mentari Movenpick Sepang, Selangor. Foto MUHD NA'IM, 26 MEI 2022.

SEPANG – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid menasihatkan agar rakyat dan jemaah menteri menyerahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagi menangani isu peletakan jawatan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin.

Jelasnya, segala keputusan yang diambil mengenai perletakan jawatan Zuraida terserah kepada kebijaksanaan Ismail Sabri.

“Dia punya pregoratif dan tahu untuk mengendalikan isu ini,” katanya ketika diminta mengulas mengenai peletakan jawatan Zuraida hari ini.

Ahli Parlimen Ampang itu turut meninggalkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan mengesahkan untuk menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).

Zuraida berkata, beliau akan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri dalam masa terdekat untuk membincangkan tindakannya itu.

Ditanya mengenai sejumlah 40 Ahli Parlimen termasuk Zuraida yang bertindak lompat parti, Mahdzir berkata, ia merupakan senario yang berlaku kesan daripada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) lalu.

“Ini senario yang berlaku dalam tempoh empat tahun ini apabila kesan daripada Pilihan Raya Umum ke-14 pada 2018, itulah keputusannya dan kejadian-kejadian yang berlaku,” katanya,” ujarnya. – MalaysiaGazette