KUALA LUMPUR – Hartanah terpilih di kawasan utama berhampiran sekolah antarabangsa dan swasta terkenal di Lembah Klang telah merekodkan jumlah transaksi yang besar pada 2021.

Projek-projek ini berada dalam radius 2 kilometer dari institusi pendidikan popular dan berada di lokasi utama seperti Subang Jaya, Puchong, Kuala Lumpur, Mont Kiara, Kepong, Petaling Jaya, Setapak, Ampang Jaya, Cheras, Seri Kembangan, Shah Alam, Klang, dan Cyberjaya.

Pengurus Negara, PropertyGuru Malaysia (PropertyGuru.com.my dan iProperty.com.my), Shylendra Nathan berkata, salah satu aspek pembelian yang dipertimbangkan dalam kalangan pembeli hartanah yang mempunyai anak-anak yang sedang membesar dan sedang mencari rumah baharu adalah lokasi yang berhampiran dengan sekolah.

Oleh itu, mereka cenderung untuk mengutamakan akses ke sekolah yang bereputasi tanpa menjejaskan persekitaran kehidupan yang kondusif.

Walaupun berdepan dengan kesukaran disebabkan oleh pandemik, hartanah yang terletak berhampiran sekolah swasta dan antarabangsa terus menarik perhatian dan menyaksikan aktiviti transaksi yang menggalakkan pada 2021.

“Kami berpendapat walaupun dalam masa yang sukar, pembeli merasakan membeli rumah berdekatan dengan sekolah yang bereputasi kekal menjadi salah satu keutamaan mereka.

”Pertumbuhan transaksi turut juga disumbang oleh pelabur yang menyedari bahawa lokasi yang berhampiran dengan sekolah boleh menjadi pemacu permintaan hartanah sewa terutamanya di kalangan komuniti ekspatriat yang populasinya
dijangka meningkat berikutan peralihan Malaysia ke fasa endemik,” katanya.

Shylendra percaya trend membeli hartanah berdekatan institusi pendidikan swasta mungkin akan meningkat apabila pasaran pulih, sekali gus i memberi petanda baik bukan sahaja dari segi gaya hidup pembeli hartanah dan kemudahan anak-anak mereka, tetapi juga dari segi pertumbuhan nilai jangka panjang pelaburan hartanah mereka.

Apatah lagi, trend berpindah ke kawasan pinggir bandar untuk mencari kualiti hidup yang lebih baik akan terus meningkat apabila model kerja hibrid menjadi lebih popular.

Secara statistik, kehadiran pelajar tempatan di sekolah swasta dan antarabangsa semakin meningkat sepanjang sedekad lalu.

Menurut Data Penyelidikan ISC, rakyat Malaysia merangkumi 45% populasi daripada pelajar sekolah antarabangsa premium dan 65% daripada sekolah antarabangsa pasaran pertengahan (dinilai mengikut yuran).

Sememangnya, permintaan untuk kawasan kejiranan yang terletak di sekitar sekolah yang bereputasi telah meningkat, kerana hartanah dalam lokasi tersebut telah menjadi sasaran utama pembeli yang ingin menaiktaraf dan juga pasangan yang baru berumahtangga.

Selain itu, pandemik Covid-19 telah mengetengahkan keperluan untuk persekitaran pendidikan jarak jauh yang cemerlang.

Dalam hal ini, institusi pembelajaran swasta terbukti lebih unggul dalam memudahkan pendidikan dalam talian menggunakan kaedah pengajaran yang inovatif. – MalaysiaGazette