Ketua Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Sutekno Ahmad Belon (kanan), bersama Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Kawalan) Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Mohamad Fauzi Md Isa, di Program Hari Terbuka AADK 2022, di PUSPEN Dengkil, Selangor.

DENGKIL – Sejumlah 123,139 orang penagih dadah baharu dikesan berjaya dikesan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) pada tahun lalu.

Daripada jumlah itu, 80,24 orang, (65 peratus) dipulihkan oleh AADK manakala 73,113 orang (91 peratus) mengikuti Program Rawatan dan Pemulihan Dalam Komuniti dan baki 7,113 orang (9 peratus) menghadiri Program Rawatan dan Pemulihan Dalam Institusi.

Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Kawalan) Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Mohamad Fauzi Md Isa berkata, sejak tahun 2017 sehingga kini, penggunaan dadah jenis Amphetamine Type Stimulant (ATS) juga meningkat mendadak.

Tambahnya, pada tahun lalu, sebanyak 69.8 peratus penagih yang ketagihan dadah jenis ATS berjaya dirawat pulih dan selebihnya dadah jenis heroin.

”Selain dua jenis dadah itu, kebanyakan penagih tempatan turut mengambil pil kuda atau ‘yaba’, ecstasy dan amphetamine atau syabu, ice, dan batu,” kata Mohamad Fauzi ketika berucap mewakili Ketua Setiausaha KDN, Datuk Seri Wan Dahlan Abdul Aziz di Program Hari Terbuka AADK 2022, di PUSPEN Dengkil, di sini, hari ini.

Tambah Mohamad Fauzi, untuk menangani lebih banyak lagi kes baharu penagihan dadah, AADK telah menambah baik kaedah rawatan dan pemulihan dengan melalui Model i-Pulih, yang meliputi sembilan modul rawatan seperti biologi, psikologi, sosial dan spiritual untuk mengatasi yang menjurus kepada penagihan semula. – MalaysiaGazette