Annuar Musa

MELAKA – Sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) tidak seharusnya sekadar menjadi sambutan biasa yang hanya meniti di bibir tanpa resolusi mengangkat profesion kewartawanan.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, acara itu seharusnya menjadi sambutan luar biasa, berbeza dengan hari lain seperti sambutan Hari Ibu, Hari Bapa dan sebagainya.

“Saya tak nak HAWANA 2022 ini hanya jadi satu lip service. kerana orang buat, Indonesia buat kita pun nak buat atau pun ia hanya menjadi satu daripada acara biasa, macam dah ada Hari Ibu, Hari Bapa kemudian kita tambah lagi satu HAWANA.

“Saya jangka ia lebih dari yang biasa-biasa iaitu daripada HAWANA ini dapat melahirkan beberapa resolusi-resolusi baharu yang dapat menjadi panduan mengangkat profesion kewartawanan dalam proses pembangunan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan penutupan Forum Media Nasional bertemakan Kewartawanan Era Revolusi Industri Keempat: Cabaran dan Peluang sempena sambutan HAWANA 2022 di sini hari ini.

HAWANA diadakan yang bertujuan bagi meraikan para petugas media berlangsung pada 29 Mei setiap tahun.

Sambutan tersebut telah dimulakan sejak tahun 2018 dan tarikh 29 Mei dipilih sempena penerbitan edisi pertama akhbar Utusan Melayu pada 29 Mei 1939.

Annuar berucap pada
majlis perasmian penutupan Forum Media Nasional bertemakan Kewartawanan Era Revolusi Industri Keempat: Cabaran dan Peluang sempena sambutan HAWANA 2022 di di Hotel Hatten di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Annuar berkata, kerajaan dan persatuan wartawan juga seharusnya mewujudkan satu jalinan kerjasama terutama bagaimana dapat membantu wartawan negara ini diperkasakan dari semasa ke semasa.

“Mesti ada satu bentuk sinergi antara kerajaan yang boleh jadi pemudahcara memberikan beberapa insentif permulaan supaya dunia dan profesion kewartawanan itu dapat sama-sama kita perbaiki,

“Ia sepatutnya menjadi tanggungjawab kolektif dan saya percaya masih banyak ruang untuk kita perbaiki sekaligus menjadikan persatuan wartawan lebih efektif dan bermakna,”katanya.

Terdahulu, dalam ucapan perasmiannya, Annuar memberi contoh bagaimana sesebuah persatuan wartawan itu lazimnya menjadi lemah apabila terlalu banyak persatuan, tanpa ada sebuah persatuan wartawan induk yang memayungi persatuan sedia ada.

“Saya lihat pengiktirafan kepada wartawan hari ini terlalu longgar, apabila masing-masing suka bawa haluan sendiri dan bila banyak persatuan, kurang penyatuan dan lazimnya menjadi lemah.

“Dunia kewartawanan ini tersangat besar peranannya kerana wartawanlah orang yang mencorak rupa bentuk bangsa, hubungkan kelompok-kelompok dalam sesebuah negara dan tidak terpisah dalam dunia intelektual,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast