Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyarungkan selendang hitam kepada jurulatih tertinggi Pertubuhan Seni Silat Lincah Malaysia pada Istiadat Penganugerahan di majlis Perhimpunan dan Penyampaian Sijil Pertubuhan Seni Silat Lincah Malaysia Tahun 2022 di Kompleks Lincah Mahaguru Omardin (KLMO), Gombak, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 29 MEI 2022.

GOMBAK – Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) menyambut baik pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang berhasrat meneruskan pembangunan Kompleks Silat Negara.

Presidennya, Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata, ia bukan sahaja satu hadiah kepada Persatuan Seni Silat Lincah Malaysia bahkan penghargaan kepada semua perguruan persilatan negara.

“Alhamdulillah hari ini 29 Mei 2022 yang juga tarikh lahir Allahyarham Tan Sri Omardin Mauju maka Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah pun bersetuju pembinaan Kompleks Silat Negara diteruskan.

“Ini merupakan hadiah yang cukup besar bukan sahaja Seni Silat Lincah bahkan semua perguruan persilatan,” katanya pada sidang media di Kompleks Lincah Mahaguru Omardin di sini hari ini.

Terdahulu Ismail Sabri bersetuju untuk meneruskan pembangunan Kompleks Silat Negara yang tertangguh sejal Barisan Nasional (BN) tewas pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) pada 2018.

Perdana Menteri berkata, projek fasiliti sukan itu yang sebelum ini diusahakan Perdana Menteri ke-6, Datuk Seri Najib Tun Razak akan dikembalikan bagi memartabatkan silat di negara ini.

Dalam pada itu, Megat Zulkarnain menegaskan, sekiranya fasiliti sukan itu siap dibina nanti, ia bukan hak mutlak mana-mana pertubuhan silat tertentu sahaja.

“Mesti diingati Kompleks Silat Negara ini bukan hak milik mana-mana perguruan silat. Kompleks Silat Negara hak milik semua pertubuhan silat dan ia merupakan simbol kepada ketuanan dan kebudayaan Melayu,” katanya.

Katanya lagi kos pembinaan awal sebelum ini dianggarkan berjumlah RM80 juta itu perlu disemak semula kerana sudah hampir empat tahun ia tertangguh.

“Perdana Menteri ada tanya saya, masa kita buat yang dulu melibatkan RM80 juta kerana melibatkan kompleks, hotel empat bintang, sebuah stadium dan sebuah gelanggang silat.

“Kita akan hantar semula (kos) untuk semakan dan persetujuan Perdana Menteri. Jumlahnya saya tak berapa pasti, kita nak ia dibina seberapa segera,” katanya.

Ditanya tentang lokasi cadangan fasiliti sukan itu, beliau berkata, pada mulanya terletak bersebelahan Istana Budaya bersebelahan Tasik Titiwangsa, di sini.

“Perdana Menteri telah minta saya sekali lagi mengenal pasti tapak yang sesuai dan kita panjangkan kepada beliau tapi kita tak tahu sekarang tanah itu milik sesiapa, kita tengok nanti mana tapak yang sesuai,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Projek Kompleks Silat Negara akan diteruskan – PM