Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (dua kanan) bersama Ulul Amri ke 3 Pertubuhan Seni Silat Lincah Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak (dua kiri) serta Menteri Pembangunan Usahawan Dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar (kiri) dan Mahaguru Muda Pertubuhan Seni Silat Lincah Malaysia, Datuk Wira Megat Zulkarnain (kanan) hadir pada majlis Perhimpunan dan Penyampaian Sijil Pertubuhan Seni Silat Lincah Malaysia Tahun 2022 di Kompleks Lincah Mahaguru Omardin (KLMO), Gombak, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 29 MEI 2022.

GOMBAK – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersetuju untuk meneruskan pembangunan Kompleks Silat Negara yang tertangguh sejak Barisan Nasional (BN) tewas pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) pada 2018.

Beliau berkata, projek fasiliti sukan itu yang sebelum ini diusahakan Perdana Menteri ke-6, Datuk Seri Najib Razak akan dikembalikan bagi memartabatkan silat di negara ini.

“Demi masa depan silat negara, saya mengumumkan akan meneruskan cadangan yang dibuat oleh Datuk Seri Najib untuk meneruskan pembinaan Kompleks Silat Negara.

“Saya percaya akan silat akan berkembang ke seluruh dunia,” katanya berucap pada Majlis Perhimpunan dan Penyampaian Ijazah Pertubuhan Seni Silat Lincah Malaysia 2022 ke-36 di Kompleks Lincah Mahaguru Omardin di sini hari ini.

Selain Najib selaku Ulul Amri Seni Silat Lincah Malaysia, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Tan Sri Noh Omar dan Mahaguru Muda, Datuk Megat Zulkarnain Omardin turut hadir pada majlis yang sama.

Sebelum ini, ketika pentadbiran Najib, kerajaan bersetuju membina sebuah kompleks sukan persilatan negara di Kuala Lumpur sebagai mercu tanda dan kebanggaan seni pertahanan diri di Malaysia pada 1 April 2018.

Dalam pada itu, Ismail Sabri melihat kepentingan silat dalam membina satu masyarakat yang memiliki ketahanan dalaman, jati diri, disiplin, pembentukan sahsiah tinggi dan melahirkan kesetiaan serta kecintaan kepada tanah air.

“Sesungguhnya elemen-elemen ini adalah penting di dalam menjayakan hasrat kerajaan bagi mencapai hasrat Keluarga Malaysia seperti yang digariskan.

“Bagi merealisasikan peranan yang boleh dimainkan oleh ahli-ahli silat di dalam memastikan kedaulatan dan kemakmuran negara dipertahankan, pertemuan seperti ini dapat memberi manfaat secara keseluruhannya,” katanya.

Perdana Menteri juga tidak menolak kemungkinan silat memainkan peranan besar membantu kerajaan menghindar belia dan beliawanis negara daripada gejala tidak sihat.

“Silat mampu melatih mereka dengan keperibadian yang baik, mulia, berikeyakinan diri, berdisiplin dan patuh kepada pemimpin melalui latihan silat,” katanya.

Beliau turut melihat potensi silat untuk menjadi jambatan budaya Melayu dengan dunia luar dengan ratusan ribu ahlinya di benua Eropah, Asia Tengah, Asia Timur dan Afrika.

“Silat perlu dipertahankan supaya satu daripada budaya persilatan yang telah bertapak sekian lama ini akan dapat dikekalkan dan diterima oleh semua lapisan masyarakat.

Katanya lagi, pesilat boleh dianggap sebagai benteng ketiga pertahanan negara boleh membantu kerajaan untuk mengekalkan keamanan dan kesejahteraan negara ketika ini.

“Bagaimanapun, semua kejayaan dan pencapaian negara tidak berlaku sekelip mata kerana ia hasil daya usaha generasi Keluarga Malaysia yang terdahulu,” katanya lagi. – MalaysiaGazette