Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd. Razali hadir ke mahkamah bagi perbicaraan kes mengabai dan menganiaya remaja perempuan sindrom Down berusia 13 tahun yang dikenali sebagai Bella di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 14 APRIL 2022.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen hari ini dimaklumkan bahawa air panas yang tumpah pada remaja kelainan upaya (OKU) Bella berpunca daripada sebuah termos.

Perkara tersebut dinyatakan pada hari terakhir sesi soal jawab oleh peguambela pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali terhadap saksi kelima pendakwaan Yasmin Nahar Mahmood.

Menurut peguam Hafidzah Hassan, laporan polis yang menyatakan insiden itu dibuat pada 27 Ogos 2021 ketika saksi utama itu berada di kondominium yang didakwa menjadi lokasi penderaan.

Peguam: Saya cadangkan tidak ada keterangan lain yang Yasmin beri kepada polis selain di bawah kondominium?

Saksi: Setuju

Peguam: Yasmin setuju tak masa di bawah kondo, Yasmin dan semua orang menyatakan kepada penyiasat bahawa air panas tertumpah (ke atas badan Bella)?

Saksi: Setuju

Peguam: Yasmin beri keterangan di bawah kondo tentang air termos yang tertumpah dekat Bella, setuju tak?

Saksi: Setuju.

Peguam: Jadi pada masa itu, diceritakan kepada penyiasat yang (air panas) tertumpah adalah dari termos yang berada di belakang itulah dekat laundry?

Saksi: Setuju

Peguam: Setuju tak termos, bukan Cockoo sahajakan?

Saksi: Setuju

Peguam: Saya cadangkan kepada Yasmin, lepas itu penyiasat naik ke atas rampas termos.

Saksi: Setuju.

Sebelum ini, Yasmin memberitahu mahkamah bahawa kecederaan pada anggota tubuh badan Bella disebabkan disimbah air panas yang diambil daripada mesin pemanas air berjenama Cuckoo.

Sementara itu, ketika sesi pemeriksaan semula oleh pihak pendakwaan, Yasmin ditanya mengenai kain yang menjadi pengikat mulut Bella ketika didera.

Saksi tersebut memberitahu Timbalan Pendakwa Raya Zahida Zakaria bahawa dia telah membuang kain berkenaan.

Menurut Yasmin, dia berbuat demikian kerana takut dimarahi oleh Siti Bainun.

Pendakwaan: Kain disumbat di mulut Bella. Kenapa tidak beritahu polis?

Saksi: Sebab kain itu dah dimasukkan ke dalam mulut Bella, kain itu sudah berbau. Sebab kain itu sudah buang.

Pendakwaan: Dia ada dua, satu tak tunjuk. Satu tak cerita. Masa dengan polis, Yasmin cerita tak pasal kain sumbat mulut?

Saksi: Tak

Pendakwaan: Kenapa Yasmin tidak cerita? Sebab takut. Takut apa Yasmin?

Saksi: Sebab takut Bainun tahu sendiri, sebab Bainun sudah beri arahan jangan beritahu apa-apa. Kalau saya cerita saya takut Bainun marah.

Kes yang berlangsung di hadapan Hakim Izralizam Sanusi akan bersambung esok.

Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun, 30, tidak mengaku bersalah atas dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya remaja perempuan itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi.

Pertuduhan terhadapnya adalah mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – MalaysiaGazette