Public Bank di Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 03 NOVEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Public Bank Bhd mencatat keuntungan bersih lebih rendah kepada RM1.40 bilion dalam suku pertama berakhir 31 Mac, 2022 daripada RM1.53 bilion dalam suku sama tahun lepas berikutan pelaksanaan cukai secara sekali iaitu Cukai Makmur.

Perolehan hasil turut berkurangan kepada RM4.89 bilion dalam suku pertama di bawah tinjauan tersebut daripada RM5.03 bilion sebelum ini, katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Pengasas/Pengerusi Emeritus dan Penasihatnya, Tan Sri Teh Hong Piow berkata, dalam suku pertama 2022, kumpulan tersebut terus mengekalkan pulangan ekuiti bersih yang berdaya tahan sebanyak 11.8 peratus dan nisbah kos kepada pendapatan pada 33.2 peratus.

“Secara keseluruhannya, persekitaran operasi kekal mencabar. Namun, asas-asas kumpulan yang kukuh selain aspek strategik yang tangkas, membolehkannya untuk mengekalkan ketahanan kewangan,” katanya.

Jumlah pinjaman kumpulan mencatat pertumbuhan tahunan sebanyak 5.3 peratus kepada RM362.7 bilion setakat akhir Mac 2022 manakala pinjaman domestik meningkat lebih kukuh pada kadar tahunan 5.9 peratus kepada RM339.6 bilion, disumbangkan oleh sektor runcit khususnya pembiayaan hartanah kediaman dan sewa beli.

Selain itu, jumlah pinjaman diluluskan meningkat sebanyak 14.0 peratus dalam suku pertama 2022 berbanding tempoh pada 2021.

Setakat akhir Mac 2022, kumpulan itu mengekalkan kedudukan sebagai peneraju dalam hartanah kediaman, hartanah komersial dan pembiayaan sewa beli dengan bahagian pasaran masing-masing pada 20.5 peratus, 34.0 peratus dan 30.4 peratus.

Pada suku pertama 2022, pendapatan bukan faedah kumpulan susut 10.9 peratus berbanding suku sama sebelumnya, disebabkan terutamanya oleh penurunan pendapatan perniagaan unit amanah dan broker saham selain pendapatan pelaburan yang lebih rendah.

Dari segi pendanaan, jumlah deposit pelanggan kumpulan itu mencatatkan pertumbuhan tahunan sebanyak 4.6 peratus kepada RM384.8 bilion manakala deposit berkembang pada kadar sama dengan kadar tahunan sebanyak 4.6 peratus kepada RM356.7 bilion.

Menurut bank itu, operasi luar negara menyumbang sebanyak 7.5 peratus kepada keuntungan kumpuan tersebut manakala Public Financial Holdings Limited Group (PFHL) dan Cambodian Public Bank (Campu Bank) terus menjadi penyumbang utama.

Selain PFHL dan Campu Bank, Teh berkata said Public Bank Vietnam (PBVN) juga kekal sebagai tumpuan kumpulan bagi operasi di luar negara.

“Pada suku pertama 2022, PBVN mencatat pertumbuhan keuntungan sebanyak 23.9 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas.

“Sejajar dengan potensi pertumbuhan yang positif di Vietnam, kumpulan tersebut akan terus mengembangkan rangkaiannya kepada 32 cawangan di negara itu menjelang akhir 2022, tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa,” katanya.

Mengulas mengenai prospek bank tersebut, Teh berkata pemulihan ekonomi yang berterusan pada masa depan dijangka merangsangkan lagi sentimen di lapangan dengan persekitaran yang lebih menyokong perniagaan.

“Kumpulan ini akan kekal cekal dalam meneruskan strategi perniagaan yang organik, meningkatkan kecekapan kos dan mengekalkan kualiti aset yang mantap bagi menyokong pertumbuhan mampan,” katanya.

Setakat akhir Mac 2022, nisbah modal ekuiti bersama Peringkat 1, nisbah modal Peringkat 1 dan jumlah nisbah modal masing-masing berada pada tahap sihat iaitu 14.3 peratus, 14.4 peratus dan 17.4 peratus manakala nisbah liputan kecairan kekal kukuh pada 126.2 peratus. – MalaysiaGazette