Rafizi Ramli

KUALA LUMPUR – Rakyat mahu melihat barisan bakal menteri yang diyakini dan mampu melaksanakan penyelesaian kepada masalah yang dihadapi mereka. Itu kata bakal Timbalan Presiden PKR yang baharu dipilih, Rafizi Ramli.

Menurutnya, sebagai rakyat biasa, beliau percaya masyarakat mahu idea penyelesaian yang ditampilkan oleh barisan pentadbir daripada kalangan ahli politik yang mempunyai wawasan.

Katanya, tidak cukup untuk pimpinan PKR dan Pakatan Harapan faham masalah secara mendalam dan berjaya mengutarakan penyelesaian sahaja.

“Rakyat juga mahu melihat barisan bakal menteri yang diyakini mampu melaksanakan penyelesaian-penyelesaian itu. Realiti kehendak pengundi kini sudah berubah. Ia bukan lagi soal PKR / Pakatan Harapan dilihat lebih bersih secara relatif berbanding BN dan PN, kita juga perlu lebih cerdik dan cekap sebagai pentadbir dan bakal menteri.

“Saya dan rakan-rakan mengambil risiko masuk pemilihan PKR dengan bertarung berasaskan idea sebegini. Saya diberitahu anggota PKR tidak akan dapat memahami mesej ini atau mereka lebih pentingkan soal peribadi dari gagasan idea,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Rafizi memenangi jawatan Timbalan Presiden PKR selepas menewaskan pencabarnya Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dalam pemilihan parti itu.

Ini kali pertama Rafizi memenangi jawatan tersebut setelah tewas kepada Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam pemilihan parti pada 2018.

Berdasarkan keputusan tidak rasmi, Rafizi meraih 68,992 undi berbanding Saifuddin yang meraih 50,038 undi, dengan Undi Ragu akan disahkan oleh JPP untuk ditambah kepada undi keseluruhan calon.

Menurut Rafizi, anggota akar umbi PKR memberikan mandat sebegitu besar kepada seorang anggota biasa yang tidak berjawatan sepertinya kerana mereka mahu parti tersebut kembali kepada landasan reformasi yang membentuk parti.

Rafizi yang berterima kasih kepada anggota akar umbi yang telah mengundinya berkata, dalam sejarah pemilihan PKR sejak penubuhannya tidak pernah calon seorang timbalan presiden mendapat mandat yang sebegini besar.

“Saya faham bahawa seperti mana mereka memberi mandat kepada saya, mereka juga boleh menarik mandat itu sekiranya keputusan dan tindak tanduk saya selepas ini tidak mencerminkan aspirasi mereka.

“Begitulah resam dalam ketuanan rakyat yang kita bawa selama ini. Kuasa itu datang dari rakyat dan setiap yang berniat untuk mencebur diri dalam politik wajiblah sentiasa mengingatinya,” katanya dalam satu kenyataan.

Rafizi berkata, beliau akan menguruskan perjumpaan dengan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim pada kadar yang segera untuk memulakan urusan persediaan parti itu bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 yang dijangka tidak berapa lama lagi.

Beliau menegaskan, PKR akan kembali kuat apabila keseluruhan anggota dari akar umbi ke presiden bergerak dengan satu strategi dan masing-masing melaksanakan tugasan dengan berkesan.-MalaysiaGazette