Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd. Razali

KUALA LUMPUR – Saksi kelima kes penderaan Bella, Yasmin Nahar Mahmood memberitahu mahkamah air panas yang tertumpah pada remaja kelainan upaya (OKU) hingga mengakibatkan kecederaan bukan daripada termos.

Sebaliknya, Yasmin menegaskan air panas yang membuatkan Bella melecur berpunca daripada mesin Cuckoo.

Beliau berkata demikian ketika sesi pemeriksaan semula yang dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Zilfinas Abbas dalam Mahkamah Sesyen hari ini.

Pendakwa: Semalam peguambela ada menyatakan berkaitan air panas termos. Isu ini ditimbulkan ketika pemeriksaan balas Yasmin. Dalam pemeriksaan utama Yasmin cakap air panas dari mesin Cuckoo. Peguambela mencadangkan air panas daripada termos. Yasmin menjawab tidak bersetuju. Boleh Yasmin jelaskan air panas ini dari mana?

Yasmin: Sebenarnya air panas ini daripada Cuckoo bukan termos.

Pendakwa: Lepas itu peguambela Hafizah ada merujuk kepada dua laporan polis Yasmin. Bila peguam tanya berkenaan air panas terumpah daripada termos di bilik laundry. Yasmin setuju. Boleh Yasmin jelaskan?

Yasmin: Bukan, air panas itu tertumpah pada tangan Bella. Maksudnya itu (air panas) tak ada di termos itu.

Pendakwa: Kenapa Yasmin setuju? Boleh jelaskan?

Yasmin: Yasmin setuju sebab ada termos di bilik itu, bukannya sebab air panas yang terdapat dalam termos.

Media semalam melaporkan, jika sebelum ini Yasmin menyatakan kecederaan melecur pada tubuh Bella adalah disebabkan air panas daripada penapis air Cuckoo, namun saksi itu memberitahu lecuran tersebut adalah disebabkan tumpahan air panas daripada termos.

Ketika disoal balas oleh peguam bela, Nurul Hafidzah Hassan, Yasmin,19, memberitahu, tumpahan tersebut berlaku ketika Bella bergaduh dengan seorang lagi penghuni Rumah Bonda bernama Balqis.

Sementara itu, dalam sesi pemeriksaan semula hari ini, Zilfinas meminta saksi menjawab semua soalan berkaitan dakwaan penguambela Siti Bainun bahawa Yasmin telah membuat 40 pembohongan ketika memberikan kenyataan kepada mahkamah.

Yasmin menafikan bahawa dia telah membuat kesemua pembohongan tersebut seperti yang didakwa.

Saksi kelima pendakwaan itu selesai memberi keterangan hari ini dan akan dipanggil semula untuk membuat pengecaman terhadap saksi-saksi lain.

Perbicaraan bersambung semula pukul 2.30 petang ini dengan pihak pendakwa akan memanggil seorang lagi saksi awam iaitu Suhana Zam.- MalaysiaGazette