Polis Trafik turut membuat pemeriksaan keatas motosikal pada OPS Bersepadu Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) di Plaza Tol Jalan Duta, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 12 OGOS 2017.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menggagalkan pertaruhan lumba haram membabitkan wang berjumlah RM214,800 untuk tempoh antara 2018 hingga tahun 2021.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Komisioner Datuk Kasim Karim berkata, sejak bermulanya peralihan ke Fasa Endemik pada 1 April lalu, Unit Risikan/Operasi JSPT Bukit Aman telah mempergiatkan operasi membanteras gejala lumba haram.

“Berdasarkan keseluruhan statistik keseluruhan termasuk Kontinjen Operasi Samseng Jalanan bermula April 2022 sehingga kini, sebanyak 390 operasi dan 602 tangkapan telah dilaksanakan di bawah Seksyen 42 (1) APJ 1987 dan Seksyen 81 (3) APJ 1987.

“Statistik tangkapan juga menunjukkan bahawa kekerapan operasi yang dijalankan oleh pihak berkuasa telah berjaya dilaksanakan dan juga ianya dapat dilihat berdasarkan penemuan lokasi-lokasi baru yang dapat dikesan oleh pihak berkuasa khususnya JSPT.

“Berdasarkan statistik tangkapan yang dibuat, kebanyakannya lebih tertumpu di Lebuhraya KL-Seremban (Plus), Lebuhraya Kesas, Lebuhraya Persekutuan, terdapat lagi beberapa lagi lokasi hotspot yang aktif terutamanya di sekitar lembah Klang.

“Bagaimanapun, tiada sebarang aktiviti pertaruhan membabitkan wang berjumlah sehingga RM450,000 telah dikesan seperti yang dinyatakan di dada akhbar tempatan baru-baru ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, mengikut statistik sejak tiga tahun lalu, pada 2018 tangkapan dilakukan di Lebuhraya Plus (Changkat-Jering) melibatkan wang pertaruhan sebanyak RM165,000 disusuli wang pertaruhan RM2,000 di Lebuhraya Grand Saga (2019).

“Pada tahun 2020 tangkapan di Lebuhraya Kajang-Seremban (Lekas) melibatkan wang pertaruhan sebanyak RM38,000, di Kesas wang pertaruhan sebanyak RM800, dan di Lebuhraya Pantai Timur (LPT) melibatkan wang pertaruhan sebanyak RM4,000.

“Manakala pada tahun 2021, tangkapan yang dilakukan di Lebuhraya Shapadu melibatkan wang pertaruhan sebanyak RM5,000,” ujarnya.

Sementara itu menurutnya, Unit Risikan/Operasi JSPT Bukit Aman sedang memperhebatkan usaha mengenalpasti beberapa bengkel yang terlibat dalam pertaruhan lumba haram di seluruh Malaysia dan tindakan ke atas mereka akan diambil.

Dalam pada itu, kata Kasim, JSPT juga dalam usaha mewujudkan kerjasama dengan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dalam perkongsian maklumat berkaitan isu samseng jalanan mahupun melibatkan isu jenayah lain seperti kenderaan curi.

Pada Keseluruhan, katanya JSPT sememangnya komited menangani isu samseng jalanan dan sepanjang tahun lalu sebanyak 1,569 Operasi dijalankan melibatkan 2,560 tangkapan membabitkan samseng jalanan.

“Sebanyak 24,481 saman turut dikeluarkan sepanjang Op Samseng Jalanan ini dibuat dan sebanyak 3,370 motosikal berjaya disita daripada pesalah di jalan raya.

“Bagi memperkasakan tindakan ini sebanyak 3 siri bengkel dibuat dengan kerjasama Cawangan D14 JSJ Bukit Aman pada tahun 2021 di mana Unit Risikan Operasi didedahkan dengan Penggunaan Akta POCA bagi menangani isu Samseng Jalanan,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast