Peguam, Wan Azliana Wan Adnan bersama Peguam, Abdul Hayyi Salim, Bapa Mangsa, Zainizam Wakimun (dua kanan) dan Ibu Mangsa, Nurul Faradila Abudllah (dua kiri) menunjukkan memorandum ketika perjumpaan bersama Bekas Perdana Menteri, Tun Dri Mathathir Mohamad ketika penyerahan memorandum Akta Anti Buli di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya. Foto MUHD NA'IM, 31 MEI, 2022.

PUTRAJAYA – Seorang bapa kepada mangsa buli menggesa kerajaan, khususnya Kementerian Pendidikan (KPM), memandang serius mengenai aktiviti buli yang semakin menjadi di sekolah-sekolah di seluruh negara.

Zainizam Wakimun turut merayu agar kementerian itu mewujudkan sistem warden yang bukan terdiri daripada tenaga pengajar di sekolah.

“Saya harap KPM nampak benda ini dan cuba ubah daripada sistem warden itu sendiri di mana yang khusus untuk sekolah asrama.

“Sekarang warden dilantik di kalangan cikgu-cikgu di sekolah, mereka pun ada beban sendiri dan bagaimana mereka nak jalankan amanah sebagai warden dalam masa yang sama mereka perlu mengajar. Saya harap KPM nampak kelemahan di situ,” katanya dalam sidang media bersama Pertubuhan Aspirasi Wanita Malaysia (ASWA) di Yayasan Kepimpinan Perdana, hari ini.

Beliau dan ASWA sebelum itu mengadakan pertemuan dengan Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr. Mahathir Mohamad di YKP.

Sebelum ini, Timbalan Ketua Jawatankuasa Pemikir Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) merangkap Timbalan Pengarah Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat, Universiti Putra Malaysia (UPM), Noor Mohamad Shakil Hameed menegaskan sehingga sekarang belum ada titik noktah untuk masalah sosial membimbangkan ibu bapa ini, walaupun banyak kes dilaporkan dan diambil pelbagai tindakan, isu ini terus berulang.

“Perlu ada pendekatan lebih menyeluruh untuk menamatkan noktah kepada isu buli supaya sekolah berasrama penuh terus berperanan melahirkan anak yang cemerlang dalam persekitaran kondusif dan selamat.

“Justeru, sudah tiba masa kerajaan mengambil pendekatan yang lebih tegas bagi mencegah dan menangani masalah buli di sekolah. Kita tidak boleh bertoleransi lagi, sebaliknya tindakan keras serta tegas perlu kepada semua pihak untuk menamatkan kelaziman buli ini,” katanya.

Dalam pada itu, Zainizam berkata, KPM perlu mengeluarkan satu garis panduan baharu mengenai budaya buli di sekolah yang tidak memberikan manfaat kepada mangsa.

“Macam kes anak saya, selepas pembuli dilepaskan daripada tahanan reman, mereka masih boleh sekolah macam biasa.

“Kalau saya hantar anak saya ke sekolah, perkara sama akan berulang takkan nak tunggu mati.

“Jadi perlu ada garis panduan untuk semua sekolah ikut dan sekolah buat siasatan dalaman dan sekiranya didapati bersalah, terus gantung,” katanya.

Ahli Keluarga mangsa bersama Peguam mangsa buli Sekolah menunjukkan kesan daripada akibat buli ketika perjumpaan bersama Bekas Perdana Menteri, Tun Dri Mathathir Mohamad ketika penyerahan memorandum Akta Anti Buli di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya. Foto MUHD NA’IM, 31 MEI, 2022.

Untuk rekod, anak Zainizam yang berusia 13 tahun menjadi mangsa buli dan dipukul tiga pelajar tingkatan empat dan seorang pelajar tingkatan tiga.

Ekoran insiden malang berkenaan, mangsa mengalami lebam, sakit pada badan, pinggul, tangan dan bahu, selain baru sahaja disahkan mengalami retak pada pergelangan tangan. – MalaysiaGazette