Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bersama Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan hadir ke Istiadat Perbarisan Hari Ulang Tahun Tentera Udara Diraja Malaysia ke-64 di Pangkalan Udara Subang. Foto MOHD ADZLAN, 01 JUN 2022.

PETALING JAYA – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat ke Istiadat Perbarisan Hari Ulang Tahun Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang ke-64 di Pangkalan Tentera Udara, Subang, dekat sini, hari ini.

Keberangkatan tiba pasangan diraja pada 9 pagi tadi disambut Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jen Tan Sri Affendi Buang, Panglima TUDM Jen Datuk Seri Mohd Asghar Khan Goriman Khan dan Timbalannya Lt Jen Datuk Mohammad Salleh Osman.

Nyanyian lagu Negaraku dan Perwira Di Angkasa kemudian dialunkan Gabungan Pancaragam TUDM sebelum Seri Paduka berdua menerima penghormatan Diraja disertai lintas hormat lima helikopter yang membawa bendera Jalur Gemilang, bendera ATM dan bendera TUDM.

Al-Sultan Abdullah selepas itu mencemar duli memeriksa perbarisan yang terdiri daripada 23 pegawai dan 420 anggota Lain-Lain Pangkat, diketuai oleh Lt Kol Hassan Basri Tajul Ariffin dengan menaiki kenderaan istiadat.

Kontinjen perbarisan kali ini membawa Panji-Panji Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong iaitu Panji-Panji Kolej Tentera Udara, No 10 Skuadron, No 12 Skuadron, No 15 Skuadron, No 16 Skuadron, No 18 Skuadron dan No 20 Skuadron bersama empat Skuadron Pengawal.

Perbarisan berkonsep Berjalan Lalu Dalam Masa Perlahan dan Cepat turut disertai terbang lintas hormat pesawat-pesawat TUDM iaitu Sukhoi Su-30MKM, BAE Hawk dan F/A-18D Hornet, pesawat angkut A400M dan pesawat latihan PC-7 MKII. Helikopter EC 725 AP, AW 139 turut serta membuat lintas hormat buat julung kalinya dalam istiadat itu.

Hadir sama ialah Panglima Angkatan Bersama Lt Jen Datuk Indera Yazid Arshad, Panglima-Panglima Pemerintahan Bersama dan mantan-mantan panglima TUDM.

Seri Paduka kemudiannya mencemar duli menyampaikan Titah Diraja sebagai menzahirkan sokongan baginda kepada TUDM dan seluruh warga udara dalam istiadat bertemakan ‘Kuasa Udara, Perisai Kedaulatan Negara’ itu.

Dengan tema yang diangkat, ia telah menterjemahkan peranan utama angkatan itu sebagai kuasa udara yang penting dan TUDM akan dimantapkan melalui pemerkasaan elemen warga berkapasiti tinggi dan keupayaan peralatan ketenteraan seiring evolusi teknologi moden semasa.

TUDM di bawah tampuk kepimpinan Mohd Asghar Khan turut menggariskan enam tonggak utama dalam Perintah Ulung Panglima TUDM ke-20 yang perlu dihayati warga udara untuk terus berfungsi dengan efektif dan berwibawa.

Enam tonggak tersebut ialah Pemantapan Keupayaan dan Kesiagaan TUDM; Keunggulan Struktur dan Kecemerlangan Organisasi; Pemerkasaan dan Pengupayaan Warga Udara; Mengoptimumkan Pengurusan Sumber dan Meningkatkan Budaya Inovasi; Peningkatan Keupayaan TUDM Melalui Kolaborasi Bersama Industri Pertahanan Tempatan serta Kebajikan Sosial dan Kelestarian Warga.

Sambutan yang berlangsung hampir sejam itu diakhiri dengan perkenan Seri Paduka berdua menghadiri Majlis Santapan Diraja bersama-sama kira-kira 2,000 hadirin termasuk Penasihat Pertahanan, wakil-wakil kedutaan serta warga TUDM khususnya di sekitar Lembah Klang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast