Parliament Malaysia Dewan Rakyat sitting Anti-Party Hopping Bill Law Federal Constitution amendment
Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR – Jemaah Menteri bersetuju secara prinsip dengan cadangan reformasi Parlimen yang merangkumi tiga perkara penting.

Tiga perkara berkenaan adalah penggubalan Akta Perkhidmatan Parlimen, pindaan kepada Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952 [Akta 347] dan Draf Kod Etika Ahli-ahli Parlimen.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, Akta Perkhidmatan Parlimen 1963 telah dimansuhkan melalui Akta Perlembagaan (Pindaan) 1992 [Akta A837] yang berkuat kuasa pada 20 November 1993.

Jelas beliau, pemansuhan berkenaan bagi memenuhi keperluan ketika itu untuk membuka perkhidmatan Parlimen yang tertutup kepada perkhidmatan awam Persekutuan.

Menurutnya, penggubalan ini juga mengambil kira penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan Parlimen yang merupakan sebahagian daripada pengurusan Parlimen yang mempunyai kuasa autonomi untuk menentukan dasar dan tadbir urus Parlimen
Malaysia.

“Beberapa perkara yang akan diteliti termasuklah cadangan mewujudkan Skim Perkhidmatan Parlimen serta sumber kewangan dan bajet tahunan yang diperolehi Parlimen daripada Kumpulan Wang Disatukan (Consiladated Fund) yang di
kawal selia oleh Suruhanjaya Parlimen sendiri selaras dengan prinsip pengasingan kuasa,” katanya menerusi kenyataan.

Selain itu Wan Junaidi berkata, Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952 [Akta 347] yang dipinda pula dilihat penting supaya akta tersebut lebih relevan dan memberi impak yang sesuai engan keadaan semasa.

“Akta ini telah digubal pada tahun 1952 sebagai House of Parliament (Privileges and Powers) Ordinance 1952 dan dipinda pada tahun 1953 sebelum dikuatkuasakan tahun tersebut.

“Pada tahun 1988 satu semakan dibuat untuk menukar Ordinan tersebut menjadi Akta 347 sekarang ini. Selain daripada itu tidak ada pindaan pernah dibuat semenjak 1953,” tambah beliau.

Sebagai rekod, Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952 [Akta 347] merupakan Akta berhubungan dengan kuasa dan keistimewaan Majlis Parlimen, kebebasan bercakap dan berbahas dalam prosiding Majlis itu dan perlindungan kepada orang yang diambil khidmat dalam penyiaran kertas-kertas Majlis itu.

Tambah Wan Junaidi, pindaan kepada Akta Majlis Parlimen juga akan mengandungi peruntukan larangan kepada ahli-ahli parlimen yang telah dituduh di mahkamah digantung daripada menghadiri aktiviti majlis.

Namun katanya, perkara berkenaan masih diperhalusi untuk menyesuaikan dengan perkembangan dan peraturan Dewan Rakyat sedia ada.

Selain itu, ketika pertemuan, Jemaah Menteri turut bersetuju untuk menyediakan satu  Kod Etika Ahli-ahli Parlimen yang bakal menggariskan tatatertib yang lebih terperinci mengenai sikap ahli-ahli Parlimen semasa di dalam dan di luar dewan sebagaimana yang dilaksanakan di beberapa negara lain.-MalaysiGazette