Situasi di Pejabat JPJ di Bandar Manjara.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pengangkutan digesa untuk menangani kesesakan di pejabat cawangan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Kuala Lumpur dan di beberapa lokasi lain seperti di Selangor.

Kesesakan yang berlaku itu seolah-olah norma setiap hari, kata Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh.

Menurutnya, orang ramai masih lagi terpaksa beratur panjang dan mengambil masa berjam-jam untuk melakukan pelbagai urusan di pejabat cawangan JPJ biarpun sistem memperbaharui cukai jalan dilaksanakan melalui dalam talian dan penghantaran secara terus kepada pengguna.

”Sebagai sebuah agensi kerajaan di bawah Kementerian Pengangkutan (MOT), JPJ mempunyai hasil kutipan yang banyak setiap tahun. Di Kuala Lumpur sahaja, anggaran kutipan hasil mencecah hampir RM450juta setahun.

”Saya menggesa supaya hasil ini digunakan untuk menambah fasiliti, membuka lebih banyak kaunter dan pejabat cawangan di sekitar Lembah Klang bagi menampung jumlah pengguna yang semakin meningkat,” katanya dalam kenyataan di sini.

Menurut beliau, buat masa ini terdapat empat pejabat cawangan JPJ sahaja di Kuala Lumpur iaitu di Wangsa Maju, Bandar Sri Permaisuri, Bandar Menjalara dan pejabat JPJ Mini UTC Kuala Lumpur di Pudu Sentral, manakala terdapat tujuh ejabat cawangan JPJ di negeri Selangor.

Jumlah ini, ujarnua, semestinya tidak mencukupi untuk memberi khidmat kepada populasi Lembah Klang yang begitu padat.

”Saya sendiri telah melawat cawangan Bandar Menjalara di Segambut dan melihat sendiri barisan menunggu yang terlalu panjang sehingga ke lorong belakang.

” Menteri Pengangkutan digesa untuk menambah baik sistem sokongan bagi memastikan perkhidmatan dalam talian (online services) berjalan dengan efektif dan menyeluruh seperti memperuntukkan alatan kemudahan terkini yang boleh membantu meningkatkan kecekapan perkhidmatan JPJ kepada orang ramai.

”Sekarang ini, masalah yang sering mengganggu urusan adalah seperti mesin Percetakan Nasional (PKN) selalu rosak (print Lesen Memandu Malaysia (LMM)/ Lesen Memandu Kompeten (CDL)/ Lesen Memandu Percubaan (PDL) dan “network down” akibat jumlah line internet/bandwidth yang dikawal oleh MAMPU selalu tidak stabil menyebabkan orang ramai terpaksa beratur panjang berjam-jam bagi menunggu giliran untuk mendapatkan perkhidmatan di kaunter yang berkurangan akibat gangguan yang disebut,” tambahnya.

Lantaran itu, Hannah mahu MoT melakukan perubahan ini dengan segera jika beliau benar-benar prihatin kepada masalah pengguna dan pegawai yang bertugas di pejabat cawangan JPJ.

”Sebagai agensi yang mengutip hasil begitu tinggi setiap hari, adalah tidak wajar bagi rakyat membazirkan masa dalam barisan menunggu semata-mata untuk memberikan hasil kepada kerajaan. Pastikan tenaga kerja dan peruntukan pejabat yang mencukupi disalurkan kepada Lembah Klang dengan segera terutamanya di cawangan Menjalara yang terletak di dalam kawasan Parlimen Segambut,” katanya. – MalaysiaGazette