Suasana Hentian Rehat dan Rawat Temerloh menghala ke Kuala Lumpur mulai sesak dipenuhi pengunjung dari Terengganu dan Kelantan yang sudah mulai cuti penggal persekolahan.

TEMERLOH – Jika semasa Hari Raya Aidilfitri, berpusu-pusu warga Lembah Klang balik kampung – kali ini tiba masa penduduk negeri Pantai Timur pula keluar sempena cuti sekolah seminggu.

Hari ini, Hentian Rehat dan Rawat di sini mulai sesak dengan kehadiran penduduk Pantai Timur yang singgah semasa dalam perjalanan menuju ibu kota.

Cuti penggal persekolahan bagi negeri Terengganu dan Kelantan bermula hari ini sehingga 11 Jun sudah terasa apabila ramai orang sudah memulakan perjalanan keluar dari negeri masing-masing.

Tinjauan MalaysiaGazette mendapati ramai pengguna singgah di R&R Temerloh sebelum meneruskan perjalanan untuk berhenti makan dan berehat.

Keluarga Yusnita Abu Bakar berhenti berehat menikmati makan tengah hari sebelum meneruskan perjalanan ke Kuala Lumpur.

Sebanyak 15 lot kedai di R&R Temerloh rata-ratanya dipenuhi orang yang beratur panjang terutamanya bagi yang menyediakan menu makan tengahari.

Salah seorang daripadanya, Yusnita Abu Bakar, 40, yang menyatakan beliau sekeluarga memulakan perjalanan pagi tadi dari Kuala Terengganu untuk bercuti ke Kuala Lumpur selama tiga hari.

“Sudah dua tahun tidak bawa keluarga pergi berjalan disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Kali ini boleh bawa anak-anak, emak dan ayah berjalan selepas cuti hari raya,” katanya.

Beliau yang sudah menjangka pertambahan kenderaan memandangkan ini kali pertama cuti sekolah dalam fasa endemik dan pastinya ramai yang mengambil peluang untuk melancong.

Manakala bagi pekerja kedai serbaneka, Nur Atikah, 19, berkata, orang ramai mulai sesak memenuhi R&R sejak 8 pagi tadi.

“Kebanyakan pengunjung dari Terengganu dan Kelantan yang bermula cuti hari ini berhenti rehat di sini. Esok Pahang pula mula cuti sekolah ditambah Isnin pun cuti sempena keputeraan Agong, jadi memang cuti panjang,” katanya.

Menurutnya, memandangkan cuti sekolah sudah bermula, kedai makan di R&R di sini sudah bersedia menjangkakan kehadiran pengunjung yang ramai.

Justeru, katanya, premis serbanekanya juga beroperasi sehingga 12 tengah malam.

Sementara itu, bagi Inhanira Muhammad Zulkifli, 34, beliau dalam perjalanan ke ibu kota kerana ada tugasan di Bangsar namun merasakan aliran trafik masih lancar walaupun bertali arus dipenuhi kenderaan.

“Ketika bertolak dari Terengganu, kenderaan memang tidak putus-putus dari tadi, kemungkinan ramai berhenti di sini (R&R Temerloh) kerana R&R Gambang tutup,” katanya. -MalaysiaGazette