Pengerusi Save Kelantan, Datuk Husam Musa bercakap pada sidang media mengenai Save Kelantan dengan Pendedahan Terkini Pembalakan Negeri Kelantan di Urban Hive, Putrajaya. Foto MUHD NA'IM, 04 JUNE 2022.

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak boleh sering meletakkan syarat kerjasama antara parti jika beliau jujur mahu menyelamatkan negara ini.

Bekas Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Husam Musa berkata, apa kata kali ini Dr. Mahathir pula mengikut syarat parti lain untuk membentuk ‘khemah besar politik.’

“Mengapa kita perlu ikut syarat Mahathir untuk khemah besar? Kenapa Mahathir tidak ikut syarat parti lain pula? Kalau betul beliau memikirkan tentang rakyat negara ini yang berdepan harga barang naik, orang susah cari kerja dan kuasa membeli rendah.

“Tidak boleh ke sesekali beliau ikut syarat lain dan kenapa perlu letak dua tiga syarat,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau sebelum itu mengadakan sidang Save Kelantan mengenai pembalakan di negeri itu.

Husam mengulas kenyataan Dr. Mahathir yang mengakui ha­nya kerjasama antara parti-p­arti politik termasuk pembangkang di bawah khemah besar boleh menumbangkan Barisan Nasio­nal (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Namun Pengerusi Parti Pe­juang Tanah Air (Pejuang) itu ber­kata, Pejuang menolak khemah besar itu jika ia diterajui sama ada oleh Presiden PKR, Datuk Se­ri Anwar Ibrahim atau Presi­den Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Dr. Mahathir juga berkata, beliau masih lagi perdana menteri jika bukan kerana langkah Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Husam menambah, fakta perlu diperbetulkan bagaimana berlaku kejatuhan Kerajaan Pakatan Harapan pada 2020.

Jelas beliau, Anwar bukan menjadi punca sebaliknya Mahathir yang meletakkan jawatan secara mengejut tanpa berbincang dengan pemimpin PH lain.

“Sedangkan Anwar sendiri sudah memberi sokongan kepada Mahathir untuk meneruskan tugas sebagai Perdana Menteri sehingga habis penggal pada mesyuarat terakhir PH.

“Walaupun ada perjanjian Mahathir hanya menjadi Perdana Menteri selama dua tahun sebelum menyerah kepada Anwar,” katanya. – MalaysiaGazette