KUALA LUMPUR – Seorang warga emas mempunyai masalah ingatan atau amnesia yang dilaporkan hilang selepas keluar bersama anak tirinya seorang orang kurang upaya (OKU) pada Jumaat lalu akhirnya ditemui tidak sampai 24 jam oleh orang awam.
Kedua-dua mereka ditemui dalam keadaan selamat hari ini di kawasan Serdang.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Esha berkata, lelaki tempatan berusia 74 tahun itu dipercayai keluar menaiki sebuah kereta Nissan Almera bersama anak tirinya berusia 20 tahun yang menghidap penyakit sindrom down dari Taman Rasmi Jaya.
Menurutnya, seorang lagi anak tiri mangsa yang menyedari kehilangan mereka telah cuba mencari mereka di kawasan berhampiran sebelum membuat laporan polis pukul 5.30 petang semalam.
“Pengadu dalam aduannya memaklumkan bapa tirinya yang mempunyai penyakit amnesia itu sering keluar dari rumah dan kebiasaannya ditemui semula serta dihantar pulang oleh orang awam atau kenalan yang mengenali keluarga mereka jika terjumpa merayau di luar sana.
“Bagaimanapun, kali ini pengadu telah puas mencari kedua-dua individu itu di merata tempat yang pernah dilawati tetapi tidak menjumpainya sebelum datang ke Balai Polis Ampang untuk membuat laporan meminta bantuan polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohamad Farouk berkata, kedua bapa dan anak itu ditemui oleh orang awam di ladang tembikai susu di Serdang sekitar pukul 12 tengah hari tadi dan telah dihantar ke Balai Polis Taman Tun Doktor Ismail. – MalaysiaGazette