Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pandemik telah memberi tamparan teruk kepada rantaian bekalan menyebabkan alat gantian kenderaan turut mengalami kenaikan harga.

China Press melaporkan, kenaikan harga bahan mentah, kos pengangkutan kapal dan perubahan kadar pertukaran wang telah menyebabkan alat gantian kenderaan meningkat secara purata 25 peratus berbanding sebelum pandemik.

Disebabkan kos perkapalan tambahan, harga di Sabah dan Sarawak juga adalah lebih mahal.

“Sekiranya perang antara Rusia dan Ukraine berterusan, maka rantaian bekalan akan terus terjejas,” kata Presiden Gabungan Persatuan Peniaga Alat Ganti Kejuruteraan dan Kenderaan, Datuk Seri Ong Eng Hong.

Jelasnya, mungkin tidak ramai yang menyedari kenaikan harga alat ganti kenderaan kerana peniaga masih mempunyai stok lama dan menjual mengikut harga lama.

“Apabila stok lama sudah habis dan stok baharu diambil, maka harga baharu juga akan dikenakan,” katanya.

Walau bagaimanapun, kenaikan harga tidak terhad kepada alat gantian semata-mata kerana banyak barangan pengguna dilaporkan akan mengalami kenaikan harga pada Jun.

“Sebuah kumpulan besar yang mengeluarkan susu, susu pekat manis, tepung susu dan minuman coklat telah menaikkan harga produknya.

“Selain itu, ubat gigi pelbagai jenama juga akan mengalami kenaikan harga pada kadar agak tinggi pada tahun ini iaitu 20 peratus,” kata seorang pemimpin dewan perniagaan kepada China Press.

Akhbar itu turut melaporkan kenaikan harga untuk tepung susu orang dewasa, tepung gandum dan juga durian. – MalaysiaGazette