KUALA LUMPUR – Sepasang suami isteri direman enam hari bagi membantu siasatan kes meminta dan menerima wang rasuah lebih RM600,000 bagi kerja-kerja pelantikan syarikat pengangkutan untuk sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Reman bermula hari ini dibenarkan oleh Majistret Shah Wira Abdul Halim, selepas Suruhanhaya Pencegahan Rasuah Malaysian(SPRM) membuat permohonan di Mahkamah Majistret Putrajaya.

Menurut sumber suruhanjaya berkenaan, pasangan suami isteri yang masing-masing berusia 50-an dan 40-an berkenaan ditahan di kediaman mereka di Petaling Jaya kira-kira jam 7 malam semalam.

Jelas sumber tersebut, suspek lelaki yang berkhidmat sebagai eksekutif kanan sebuah GLC disyaki meminta ‘habuan bulanan’ kira-kira RM20,000 sebagai balasan melantik sebuah syarikat pengangkutan bagi penghantaran produk berasaskan minyak ke seluruh negara untuk tempoh antara Julai 2019 hingga April 2022.

Manakala, isterinya pula dipercayai bersubahat bersama suaminya untuk meminta dan menerima bagi pihak suaminya.

“Isteri suspek juga dipercayai mempunyai kawalan ke atas kad debit milik syarikat pengangkutan terbabit di mana pemilik syarikat tersebut terlibat dalam urusan rasmi dengan suami suspek,” kata sumber SPRM berkenaan.

Selain itu, lelaki berkenaan juga telah digantung tugas di syarikat berkenaan.

Kes itu disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.-MalaysiaGazette