medical officer MO on-call
Khairy Jamaluddin Abu Bakar

SEPANG – Aduan seorang Pegawai Perubatan (MO) yang kerap mendapat arahan Tugas Atas Panggilan (On Call) di sebuah hospital kerajaan bukan kes yang terpencil, kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

Beliau percaya banyak lagi kes sama yang berlaku di hospital lain yang memerlukan penyelesaian kerana ia bukan masalah baharu.

Dalam kes seperti itu, kata Khairy, pengarah hospital dan ketua jabatan perlu dipersalahkan kerana tidak memaklumkan kepada Bahagian Sumber Manusia kementerian apabila berlakunya kekurangan MO.

“Masalah yang dihadapi MO bukan baharu dan masalah agak lama yang perlu penyelesaian. Bagi jangka pendek bagi kes yang tular baru-baru ini, kisah seorang MO di hospital di mana beliau satu-satunya MO yang tinggal di jabatan tersebut dan terpaksa kerja siang malam dan aduan permohonan pertukarannya tidak diendahkan.

“Dalam kes ini, ada sedikit kelemahan kerana pengarah hospital tidak sepatutnya membiarkan keadaan itu berlaku dan seorang MO sahaja yang tanggung kerja di jabatan tersebut.

“Kita akan tindakan selanjut kerana ia bukan kes terpencil dan mungkin juga berlaku di jabatan lain,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Hari Keselamatan Makanan Sedunia Peringkat Kebangsaan, di sini, hari ini.

Beliau mengulas aduan seorang MO di Twitter miliknya yang kerap mendapat on call di sebuah jabatan hospital yang terpaksa siang dan malam serta rayuan permohonan pertukarannya tidak dilayan.

Khairy turut mempersoalkan kenapa ketua jabatan dan pengarah di hospital itu tidak memaklumkan kepada Bahagian Sumber Manusia kementerian sekiranya berlakunya kekurangan MO.

Jelas beliau, ini kerana Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) boleh mengambil tindakan tindakan selanjutnya dengan segera.

“Saya pun tidak berpuas hati apa yang berlaku. Bahagian Sumber Manusia KKM cuba sedaya menguruskan permohonan kes duka lara suami isteri dan anak yang terpisah tapi 100 peratus kita tidak dapat diurus permohonan.

“Polisi kita adalah cuba mengurangkan jarak pegawai kita yang terpisah,” katanya. – MalaysiaGazette