Jurulatih Pasukan Turkmenistan, Yazguly Hojageldiyev bercakap kepada sidang media mengenai Pusingan Kelayakan Kejohanan Piala AFC Asian 2023 di Dorset Grand Subang, Subang Jaya, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 07 JUN 2022.

SUBANG – Turkmenistan menjangka saingan sengit dari Malaysia apabila kedua-dua bertemu dalam perlawanan kelayakan Piala Asia 2022 di Stadium Nasional Bukit Jalil, esok.

Ketua Jurulatih, Yazguly Hojageldyyew berkata, pasukan yang berada pada ranking 134 itu tidak mahu menjadikan kedudukan itu sebagai kelebihan apabila menentang Harimau Malaya.

Ini kerana, katanya, persiapan Turkmenistan dalam menghadapi perlawanan kelayakan itu kurang rapi dengan latihan yang tidak mencukupi yang mana pasukannya tidak bersedia sepenuhnya.

“Walaupun kedudukan ranking kami lebih baik berbanding Harimau Malaya, kami tak ambil mudah perkara itu tetapi tetap jangkakan satu aksi yang sukar terutama apabila ini adalah perlawanan pertama yang mana kedua-dua pasukan terdesak untuk mengutip tiga mata penting,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Namun beliau masih mempunyai harapan tinggi untuk melakarkan keputusan positif ketika berdepan Malaysia yang berada pada ranking ke 154.

Menurut Hojageldyyew, mengharungi tiga perlawanan peringkat Kumpulan E dalam tempoh seminggu bukan sesuatu yang mudah khususnya apabila pasukannya tidak dapat melakukan persiapan yang diharapkan.

Tambah beliau, kini apa yang penting ialah mengharapkan pemainnya memberikan yang terbaik di atas padang dan tidak menghiraukan Harimau Malaya bermain di laman sendiri.

Sementara itu, penjaga gol Turkmenistan, Mammet Orazmuhammedow yakin rakan sepasukannya dapat mengulangi pencapaian beraksi pada Piala Asia 2019.

Menurutnya, meskipun tidak dapat melakukan persiapan seperti diharapkan, motivasi pasukan masih tinggi. – MalaysiaGazette