Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Ekonomi Malaysia tidak lagi memerlukan sokongan monetari tetapi kenaikan perlahan-lahan kadar dasar semalaman (OPR) daripada paras terendahnya pada 1.75 peratus kepada 2.0 peratus akan membolehkan pasaran membuat penyesuaian dan dilihat sebagai membantu, kata Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Datuk Abdul Rasheed Ghaffour.

Beliau menekankan bahawa keadaan Malaysia berbeza daripada negara lain dan penting untuk menormalkan kadar faedah bagi merangsang ekonomi.

“Keputusan Jawatankuasa Dasar Monetari untuk meningkatkan OPR sebanyak 25 mata asas adalah berasaskan kepada trajektori pertumbuhan negara yang berada di kedudukan kukuh, mendapat rangsangan daripada permintaan domestik selain inflasi yang terkawal dan pemulihan pasaran buruh,” katanya.

Bagi meningkatkan lagi ekonomi, beliau menekankan kepada keperluan untuk melakukan pembaharuan struktur termasuk menarik industri tokokan nilai tinggi dan pelaburan asing bernilai tinggi.

Abdul Rasheed menjelaskan kenaikan kadar faedah akan dilakukan secara berhati-hati dan beransur-ansur bagi merangsang pertumbuhan ekonomi dan sebarang kenaikan akan mengambil kira masa dan magnitud pelarasan pasaran kepada kenaikan kadar OPR.

“Pelarasan pasaran kepada kenaikan kadar akan bergantung kepada pertumbuhan ekonomi,” katanya semasa persidangan Invest Asean 2022 hari ini.

Abdul Rasheed merupakan antara ahli panel pada sesi yang diadakan hari ini bertajuk ‘Malaysia: Economy at Crossroads’, di samping Timbalan Ketua Setiauasaha Perbendaharaan (Polisi) Kementerian Kewangan Datuk Johan Mahmood Merican dan pengarah unit ekonomi dan perniagaan dan pemangku pengarah penyelidikan Institut Demokrasi dan Hak Ehwal Ekonomi Dr Juita Mohamad.

Sementara itu menjawab pertanyaan mengenai Cukai Barang dan Perkhidmatan, Johan menolak kemungkinan pengenalan semula cukai barang dan perkhidmatan (GST).

“Tiada cukai akan dilaksanakan sehingga ekonomi benar-benar pulih,” katanya.

— BERNAMA