Kegembiraan tiga rakan mandi-manda di Lata Guling, Sungai Rual, dekat sini hari ini berakhir tragedi apabila seorang daripada mereka ditemukan lemas.- Gambar hiasan.

JELI – Kegembiraan tiga rakan mandi-manda di Lata Guling, Sungai Rual, dekat sini hari ini berakhir tragedi apabila seorang daripada mereka ditemukan lemas.

Lebih memilukan, kejadian berlaku ketika Nor Aina Mohd Nasir, 17, pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jeli mahu menyelamatkan seorang rakannya yang tergelincir.

Ketua Polis Daerah Jeli Supt Ahmad Ariffin berkata Nor Aina yang berasal dari Kampung Pasir Dusun bersama dua rakannya itu telah ke tempat kejadian untuk mandi pada 2.30 petang.

“Kira-kira 3.05 petang, rakan Nor Aina iaitu Rosmaidayu Mohd Rasyid, 17, yang turun untuk mandi di lata itu telah tergelincir. Melihat keadaan itu, Nor Aina cuba menyelamatkan Rosmaidayu namun dia turut dihanyutkan air dan tenggelam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad berkata Rosmaidayu berjaya diselamatkan oleh penduduk kampung namun Nor Aina gagal ditemukan.

“Pada 3.35 petang, mangsa dijumpai abang kandungnya selepas melakukan selaman di kawasan kejadian. Mayat mangsa dibawa ke Hospital Jeli untuk bedah siasat,” katanya.- BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast