Wan Rosdy Wan Ismail

KUANTAN – Pahang menubuhkan sebuah pasukan khas dikenali Renjer Hutan Pahang atau Unit Peronda Hidupan Liar Pahang sebagai bagi melindungi hidupan liar di negeri itu.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pasukan Renjer Hutan Pahang berperanan memantau dan membuat penguatkuasaan ke atas segala kesalahan di bawah Akta Hidupan Liar.

Unit berkanaan dinaungi Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah.

“Kerajaan Negeri bersama-sama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Pahang telah menubuhkan Pusat Pemuliharaan Harimau Kebangsaan (NTCC) di Kuala Gandah, Lanchang,

“Ianya bagi memastikan habitat semua spesies harimau di negeri dan negara ini terus dilindungi daripada sebarang kegiatan yang melanggar undang-undang khususnya aktiviti pemburuan dan penerokaan hutan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Selain itu, bagi melindungi sumber biodiversiti dan memulihara alam sekitar di negeri ini, Kerajaan Negeri telah mengorak langkah dengan menubuhkan Perbadanan Taman Negeri Pahang dan Majlis Biodiversiti Negeri Pahang.

Jelasnya Perbadanan Taman Negeri Pahang berfungsi sebagai penasihat kepada Pihak Berkuasa Negeri mengenai perkara-perkara yang berkaitan dasar umum tentang pemeliharaan, penggunaan, kawalan dan pengurusan serta pembangunan alam sekitar, sumber dan biodiversiti Taman Negeri Pahang.

“Manakala Majlis Biodiversiti Negeri Pahang berperanan sebagai penasihat kepada Kerajaan Negeri Pahang dalam melindungi alam semula jadi dan sumber biodiversiti, mengkaji dasar yang berkaitan dengan bioteknologi serta melindungi harta intelek negeri ini yang melibatkan aspek flora dan faunanya.

ARTIKEL BERKAITAN :

Pemangku Raja Pahang berikrar selamatkan Harimau Malaya

Jangan hanya kenal harimau Malaya di kulit passport, jata negara – Pemangku Raja Pahang

Pelbagai inisiatif dilakukan  bagi menjunjung titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku agar setiap projek pembangunan di Negeri Pahang hendaklah dilaksanakan secara lestari berpandukan konsep Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) seperti mana seruan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Justeru Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri akan meneruskan usaha bagi memastikan habitat flora dan fauna termasuk spesies Harimau Malaya di negeri ini akan terus dilindungi.

Terdahulu Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah berikrar untuk melaksanakan tanggungjawab dan melakukan usaha terbaik bagi melindungi spesies Harimau Malaya daripada ancaman kepupusan menerusi kenyataan semalam. – MalaysiaGazette