Gambar hiasan

KUANTAN – “Tidak mustahil anak cucu kita hanya akan dapat melihat dan mengenal Harimau Malaya sekadar dalam jata negara mahupun di kulit passport kita sahaja,” titah Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Titah baginda, ia akan berlaku sekiranya pihak berkenaan tidak memberikan perhatian untuk memelihara harimau Malaya yang semakin pupus.

Pemangku Raja Pahang bertitah, baginda sedang menggerakkan usaha memelihara alam sekitar, flora dan fauna di negeri ini.

Jelas baginda, generasi akan datang tidak berpeluang untuk melihat spesies Harimau Malaya jika masyarakat tidak berusaha ke arah untuk memelihara haiwan tersebut dan jika pupus hanya lukisan di atas passport atau jata negara yang dapat ditatap.

“Khazanah alam sekitar adalah untuk generasi akan datang, saya cukup berbesar hati kerana kawasan hutan simpan kekal dan hutan simpan di negeri saya telah ditambah lebih 7,000 hektar pada tahun ini,” titah baginda pada pada sesi pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, di sini, hari ini.

Tambah Tengku Hassanal, jumlah tersebut menjadikan kira-kira 1.6 juta hektar Hutan Simpan Kekal di Pahang dan angka menjadikan Pahang sebagai negeri yang mempunyai rizab hutan terbesar di semenanjung Malaysia. – MalaysiaGazette