Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

KUANTAN – Pemangku Raja Pahang,  Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al -Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah berikrar menyelamatkan dan melindungi spesies Harimau Malaya supaya tidak pupus.

Menerusi kenyataan hari ini, baginda bertitah, Harimau Malaya yang menjadi simbol keberanian dan kekuatan rakyat Malaysia telah lama hidup bebas di negara ini mengalami ancaman kepupusan yang kritikal.

“Haiwan yang luar biasa dan mengagumkan ini kini mengalami ancaman kepupusan yang kritikal. Kita perlu membulatkan tekad dan mengambil langkah yang tegas untuk menyelamatkan Harimau Malaya.

“Dengan ini, saya, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah berikrar bahawa saya akan melaksanakan tanggungjawab dan melakukan usaha yang terbaik agar spesies kebanggaan negara ini akan terus hidup dan tidak berada di ambang kepupusan,” titahnya dalam satu kenyataan hari ini.

Baginda berharap agar kerajaan Negeri Pahang juga dapat melaksanakan dengam mengambil langkah langkah penting untuk memelihara dan memulihara Harimau Malaya.

Antaranya dengan memberikan keutamaan untuk menubuhkan unit penguatkuasaan yang berkesan bagi menghapuskan ancaman pemburuan haram serta memastikan pemburu haram yang terlibat dalam kegiatan tersebut ditangkap dan dibawa ke muka pengadilan.

“Menjadikan habitat utama Harimau Malaya di Greater Taman Negara dan kawasan di sekitarnya dilindungi segera dan jaringan koridor hidupan liar penting di kawasan Central Forest Spine dipulihkan,” katanya.

Justeru baginda menyeru kepada semua pihak supaya memainkan peranan masing-masing mencapai usaha menyelematkan spesies haiwan tersebut.

“Kita harus memastikan diri kita dilengkapi dengan pengetahuan, teknologi, sumber dan bantuan teknikal yang penting daripada golongan pakar tempatan dan antarabangsa.

“Kita tidak boleh lagi bekerja secara sendirian, dan sebaliknya perlu menyokong kerjasama dan kolaborasi penuh antara Kerajaan Negeri Pahang Darul Makmur, Kerajaan Persekutuan serta kerajaan negeri lain yang bersempadan dengan Negeri Pahang Darul Makmur.

Baginda bertitah, jika semua pihak bertindak dengan bersungguh-sungguh dan penuh ikhlas hati, baginda yakin dan ikon kemegahan Malaysia itu dapat diselamatkan.

Usaha melindungi kawasan hutan yang merupakan warisan biodiversiti yang tiada galang ganti perlu diteruskan kerana hutan medium menyediakan perkhidmatan ekosistem yang penting demi kesejahteraan rakyat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast