Pemandu kenderaan utiliti Sukan (SUV) jenis Porsche Macan maut dalam nahas kemalangan di Kilometer 55.6 Lebuhraya Karak menghala ke Bentong dalam kejadian 2.30 petang tadi

KUANTAN – Seorang pemandu kenderaan utiliti Sukan (SUV) jenis Porsche Macan maut setelah terbabit kemalangan melibatkan  dua kenderaan lain di Kilometer 55.6, Lebuh Raya Karak menghala ke Bentong dekat sini hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (KJSPT) Pahang, Superintendan Kamarulzaman Jusoh berkata, mangsa, Lee Cheng Yik, 22,  dari Selangor itu maut di tempat kejadian.

Sementara itu, dua lagi pemandu lain iaitu kereta Proton Waja dan Proton Saga yang terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan dalam nahas yang berlaku pada pukul 2.30 petang tadi.

“Siasatan awal dapati mangsa dan pemandu Proton Waja dalam perjalanan dari arah Kuala Lumpur menghala ke Bentong manakala pemandu Proton Saga dari Kuala Lumpur menghala ke Kuala Terengganu.

Pemandu kenderaan utiliti Sukan (SUV) jenis Porsche Macan maut dalam nahas kemalangan di Kilometer 55.6 Lebuhraya Karak menghala ke Bentong dalam kejadian 2.30 petang tadi

“Setibanya di lokasi kejadian dipercayai mangsa cuba memotong Proton Waja dan melanggar bahagian lampu belakang sebelah kanan menyebabkan kenderaannya berpusing.

“Kemudian pemandu Proton Waja pula melanggar besi pembahagi jalan manakala mangsa melanggar bahagian belakang Proton Saga lalu terbabas ke lorong jalan keluar stesen minyak di sebelah kiri jalan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Hasil siasatan juga mendapati kemalangan berpunca dari kecuaian mangsa yang bekerja yang memandu dengan cuai sehingga menyebabkan kemalangan.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Bentong dan proses bedah siasat dijalankan selepas ujian calitan Covid-19 diperoleh.

Kamarulzaman berkata, kes masih dalam siasatan lanjut di bawah Sesyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan APJ 1987. – MalaysiaGazette