Tuminah (tengah) meluangkan masa menyantuni Nurhabibah yang mengidap kanser hati dan usus tahap empat.

MELAKA – “Sejak dapat tahu isteri mengidap kanser hati dan usus awal Ramadan lalu, setiap malam saya akan tenung wajah isteri dan empat anak yang masih kecil.”.

Itu luahan Nordin Yusup, 42, mengenangkan nasib apabila isterinya Nurhabibah Mohd Nasir, 35, tiba-tiba disahkan mengidap kanser hati dan usus tahap empat 5 April lalu, pada hari keempat umat Islam menyambut Ramadan.

Menurutnya, ketika itu dunianya bagaikan gelap gelita kerana isterinya sebelum itu tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda penyakit pembunuh senyap itu.

Menceritakan semula kejadian itu, Nordin yang merupakan seorang nelayan berkata, isterinya tiba-tiba rebah selepas mengambil wuduk untuk solat Subuh selepas sahur pada 5 April lalu sehingga terpaksa dikejarkan ke hospital.

Nordin Yusup

“Ketika itu, doktor mengesahkan isteri hanya mangalami masalah kurang air dalam badan dan dibenarkan balik tetapi diserang sakit sama sehinggalah dia mengalami serangan seperti strok pada kali ketiga beberapa hari kemudian.

“Hasil pemeriksaan lanjut, barulah doktor mengesan terdapat ketumbuhan di usus sehingga terpaksa dimasukkan air dan darah sebelum akhirnya isteri disahkan mengalami kanser hati dan usus tahap empat selepas membuat prosedur penuh rawatan.

“Waktu itu, hanya Allah sahaja yang tahu betapa luluhnya hati saya menerima ujian sebesar itu di sebalik kemuliaan Ramadan,” katanya menahan sebak ketika ditemui pemberita di rumahnya di Kampung Pantai Kundor, Tanjung Kling, di sini hari ini.

Nordin bersama empat anaknya yang masih kecil melihat isterinya yang terlantar di rumah ibu saudaranya di Kampung Pantai Kundor, Tanjung Kling, Melaka hari ini.

Lebih memilukan, Nordin berkata sejak itu dia tidak mampu lagi menghantar tiga anaknya berusia empat, tujuh dan sembilan tahun ke sekolah kerana perlu menjaga isteri setiap masa.

Malah katanya sejak itu dia juga tidak mampu lagi ke laut bagi menangkap ikan menyebabkan terputus sumber rezeki dan hanya bergantung sepenuhnya kepada bantuan daripada Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) berjumlah RM250 sebulan.

“Mujurlah juga ada saya ada mak saudara yang tinggal di Kampung Pantai Kundur yang menjadi tempat kami enam beranak menumpang teduh.

“Bayaran rumah sewa kami di Kampung Seri Tanjong juga sudah tertunggak dua bulan berjumlah RM800 menyebabkan saya semakin buntu mengenangkan ujian ini.

“Jangankan kata RM800, nak beli aiskrim RM1 untuk anak-anak yang merengek pun, saya terpaksa minta mereka bersabar kerana duit yang ada perlu digunakan untuk makanan harian yang juga banyak dibantu mak saudara dan jiran-jiran,” katanya menahan sebak.

Tuminah Kadi

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan kepada Nurhabibah boleh berbuat demikian melalui akaun Bank Simpanan Nasional 0410929000014387 atau menghubunginya di talian 011-20873302.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor, Tuminah Kadi, yang turut meluangkan masa menziarahi keluarga berkenaan berkata, pihaknya akan menyampaikan bantuan segera termasuk menghubungi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk melihat bantuan lain yang boleh disalurkan.

“Kita juga akan membantu menghantar anak-anaknya ke sekolah kerana saya difahamkan si suami perlu berulang-alik ke Hospital Melaka untuk rawatan isterinya.

“Jumaat ini, kita juga akan menyewakan sebuah ambulans untuk rawatan susulan Nurhabibah di Hospital Kuala Lumpur,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast