Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Eksport getah asli Malaysia meningkat 10.2 peratus pada bulan April 2022 kepada 58,755 tan metrik berbanding bulan Mac 2022 (53,328 tan metrik).

Prestasi eksport disumbangkan oleh produk berasaskan getah asli seperti sarung tangan getah, tayar, tiub, benang getah dan kondom.

Produk sarung tangan getah merupakan eksport utama dengan nilai sebanyak RM2.2 billion pada April 2022, meningkat 8.6 peratus berbanding Mac 2022 (RM2.0 billion), kata Jabatan Perangkaan.

China terus kekal sebagai destinasi utama untuk eksport getah asli iaitu berjumlah 39.7 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport pada April 2022 diikuti Amerika Syarikat (11.3%), Finland (4.5%), Mesir (3.2%) dan Iran (2.5%).

Ketua Perangkawan Malaysia, Dauk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, pengeluaran getah asli menurun 20.0 peratus pada bulan April 2022 (22,498 tan metrik) berbanding pada bulan Mac 2022 (28,106 tan metrik) terutamanya dikaitkan
dengan musim luruh.

Perbandingan tahunan turut menunjukkan penurunan 2.2 peratus (April 2021: 23,013 tan metrik).

Beliau menambah, pengeluaran getah asli Malaysia pada April 2022 disumbangkan terutamanya oleh sektor pekebun kecil (88.1%) berbanding sektor estet (11.9%).

Jumlah stok getah asli pada April 2022 menurun sebanyak 4.1 peratus kepada 297,673 tan metrik berbanding 310,433 tan metrik pada Mac 2022.

Kilang pemproses getah menyumbang stok akhir sebanyak 92.5 peratus diikuti kilang pengguna getah (7.4%) dan estet getah (0.1%).

Menurut beliau, sentimen pasaran getah menurun disumbangkan oleh kerugian dalam pasaran hadapan getah serantau di tengah-tengah kebimbangan kelembapan dalam sekatan ketat Covid-19 di China, konflik Rusia-Ukraine yang berpanjangan, kekurangan cip di peringkat global yang berterusan serta tekanan inflasi. – MalaysiaGazette