Mohammad Hafizzul Anas Kamaruzaman dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas pertuduhan memberikan komunikasi lucah bagi maksud komersil di Kompleks Mahkamah Sepang, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 15 JUN 2022.

SEPANG – Seorang lelaki mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menjual gambar lucah di laman sosial Twitter tiga tahun lepas, di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini.

Orang Kena Saman (OKS), Mohamad Hafizzul Anas Kamaruzaman, 30, membuat pengakuan itu setelah  pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Noorhisham Mohd Jaafar.

Berdasarkan pertuduhan yang dibacakan, OKS yang tidak mempunyai kerja tetap itu didakwa menggunakan laman sosial Twitter dengan nama @lelakilelakise1 di pautan twitter.com/lelakilelakise1 telah secara sedar memberikan komunikasi lucah bagi maksud komersil.

Bagi hantaran yang telah dimuatnaik dan dilihat pada 17 Mei 2019, jam lebih kurang 10.50 pagi di Tingkat 8, Menara MCMC 1, Jalan IMPACT, Cyber 6, Cyberjaya, tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 233(2)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta 588, yang boleh dihukum mengikut Seksyen 233 (3), akta sama.

Seksyen 233 (3) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi setahun, atau kedua-duanya dan juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan sesudah pensabitan.

OKS tidak diwakili mana-mana peguam dan kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) Nazrul Nizam Mohd Zameri.

Mahkamah kemudian menetapkan 19 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes. -MalaysiaGazette