Kredit: Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor

KUALA LUMPUR – Seorang pegawai kanan polis maut dalam kemalangan membabitkan motosikal dan sebuah lori di Kilometer 11, Lebuhraya Grand Saga (Lebuhraya Cheras-Kajang) arah ibu negara, petang semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Selangor Supt Azman Shariat berkata mangsa dikenali sebagai Mohd Farhan Zahari, 28, berpangkat inspektor yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya.

Beliau berkata ketika kejadian pada 4.45 petang itu, sebuah lori dipandu lelaki tempatan berusia 30 tahun dari Hulu Langat menghala ke Jalan Kuchai Lama manakala Mohd Farhan yang juga dalam laluan sama, dari Maktab Polis Diraja Malaysia menghala balik ke rumah di Gombak.

“Apabila tiba di Kilometer 11, mangsa cuba memintas lori berkenaan di bahu kiri jalan namun keadaan jalan didapati berpasir menyebabkan motosikal ditungganginya hilang kawalan lalu terjatuh di hadapan tayar belakang sisi kiri lori dan digilis oleh lori yang sedang bergerak terus di dalam laluannya yang sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azman berkata mangsa yang mengalami kecederaan parah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat mangsa dihantar ke Bahagian Forensik Hospital Serdang untuk proses bedah siasat.

Beliau berkata kenderaan terlibat dibawa di Balai Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang untuk pemeriksaan dan kes di siasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

— BERNAMA