Umar Abdul Majid dan Nur Arisha Amyrul Naim menunjukkan keputusan SPM 2021.

KUANTAN – Meskipun belajar menerusi Pelaksanaan Pengajaran Dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR) sewaktu mendepani pandemik Covid-19 lalu tidak menghalang Umar Abdul Majid untuk memperoleh keputusan cemerlang pada Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021.

Pelajar Sekolah Menengah Abdul Rahman Talib (SMART) berkata, kaedah pembelajaran virtual itu dianggap berkesan jika dimanfaatkan sebaiknya dan pelajar perlu berdisiplin menguruskan masa di rumah.

“Semasa sesi PdPR ada kelebihan kerana apabila sesi pembelajaran menerusi telefon, kita boleh membuat terus rujukan berkaitan topik dengan cepat.

“Walaupun saya mensasarkan 11A+ tapi tetap bersyukur apabila 9A+ dan 2A kerana kerana kita semua tahu bukan mudah mendapat keputusan A+ tetapi ia tidak mustahil,” katanya.

Tambah anak bongsu kepada pengurus restoran ini, cabaran lain ketika mengikuti proses pembelajaran secara PdPr di rumah ialah berdepan dengan bunyi bising.

“Sewaktu PdPR tempoh hari saya, belajar dalam keadaan bunyi mesin bising di ruang meja makan kerana rumah yang didiami melalui proses pengubahsuaian rumah.

“Saya cuma boleh belajar pada pukul 7 malam ke atas namun tidak menghalang saya daripada mengejar impian,” katanya ketika ditemui di SMART, hari ini.

Umar berhasrat menyambung pelajaran di Amerika Syarikat dalam jurusan Kejuruteraan Kimia ini berkongsikan pencapaian peperiksaan percubaan SPM dengan mendapat 3A+, 4A dan 4A.

Sementara itu, Nur Arisha Amyrul Naim, 18, yang mendapat 8A+ dan 1A berhasrat menyambung pelajaran di universiti tempatan.

“Terima kepada semua guru serta rakan sekolah yang banyak membantu dalam memberikan motivasi dan semangat kepada saya sepanjang pembelajaran,” ujarnya.

Anak sulung ini juga berkongsikan pengalaman waktu belajar melalui PdPr yang mana beliau berdepan masalah capaian internet yang perlahan.

“Capaian internet bukan masalah utama kerana ramai yang membantu di samping ahli keluarga turut memberikan semangat sepanjang PdPR dengan memberi ruang saya belajar di rumah,” katanya. – MalaysiaGazette