Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Polis memberkas seorang lelaki terlibat dengan tujuh kes samun sekitar daerah Brickfields dan Petaling Jaya, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Brickfields, ACP Amihizam Abdul Shukor berkata, suspek ditahan di kediamannya di Kondo Rakyat Pantai Dalam, di sini.

“Pihak polis juga telah merampas pakaian dan motosikal yang digunakan oleh suspek,” katanya menerusi kenyataan.

Jelas beliau, tangkapan berkenaan susulan dua kejadian samun di KK Mart Jalan Sawi dan Taman Bukit Angkasa yang masing-masing berlaku pada jam 3.08 pagi dan 3.30 pagi, hari ini.

“Pada 16 Jun 2022 jam lebih kurang 3.08 pagi, pengadu yang sedang bekerja sebagai juruwang di sebuah KK Mart Jalan Sawi Kuala Lumpur, telah didatangi oleh seorang pelanggan lelaki bangsa tidak pasti dan melakukan samun menggunakan sebilah parang.

“Suspek telah mengarahkan juruwang menyerahkan sejumlah wang yang diambil dari mesin simpanan wang. Suspek pada masa kejadian dilihat melalui rakaman CCTV memakai helmet berwarna hitam visor jingga, bersarung tangan, dan membawa beg badminton.

“Pada hari yang sama jam lebih kurang 3.30 pagi, satu cubaan samun bersenjatakan parang telah berlaku di KK Mart Taman Bukit Angkasa, Kuala Lumpur. Pengadu yang sedang bekerja sebagai juruwang telah didatangi oleh seorang pelanggan bangsa tidak pasti turut memakai helmet berwarna hitam visor jingga, bersarung tangan, dan membawa beg badminton.

“Suspek telah mengarahkan pengadu untuk menyerahkan rokok dan wang tunai namun pengadu telah bertindak pantas merampas parang yang dipegang oleh suspek,” katanya.

Menurut Amihizam, suspek akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur untuk proses permohonan tahanan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah. – MalaysiaGazette