Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail ketika menyerahkan surat tawaran kepada pemilik di Majlis Penyerahan Suratan Hak Milik, Notis 5A, Surat Tawaran Rumah Rakyat Pahang (RRP) Fasa 2B Daerah Maran di Kuala Sentul, Maran hari ini

MARAN – Menteri Besar Besar Pahang mengingatkan Ahli Dewan Undangan Negeri supaya memastikan pembinaan kesemua 266 Rumah Rakyat Pahang (RRP) siap mengikut jadual.

Datuk Seri Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri tidak memberi peruntukan baharu pembinaan RRP bagi tahun 2023 jika kuota tahun 2022 gagal dicapai.

Katanya, tindakan itu bagi memastikan tidak timbul pertindanan pembinaan RRP sama ada dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) atau Parlimen.

Seramai 181 penerima hadir di Majlis Penyerahan Suratan Hak Milik, Notis 5A, Surat Tawaran Rumah Rakyat Pahang (RRP) Fasa 2B Daerah Maran di Kuala Sentul, Maran hari ini

“Setiap projek RRP akan dipantau oleh Pegawai Daerah masing-masing dan saya sendiri akan memantau melalui Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK),” kata selepas majlis Penyerahan Surat Tawaran Rumah Rakyat Pahang (RRP) Fasa 2B Daerah Maran di Kuala Sentul, hari ini.

Hadir sama Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan merangkap Ahli Parlimen Maran, Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib dan Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin.

Ketika ditanya cadangan kemungkinan RRP ditambah pada tahun depan, Wan Rosdy, berkata semuanya bergantung kepada kedudukan kewangan negeri.

Jelasnya, jika kedudukan kewangan negeri mencapai sasaran kutipan hasil bernilai 1 billion, pihaknya tidak menolak kemungkinan untuk menambah pembinaan RRP lagi.

Tambah Wan Rosdy, meskipun kos pembinaannya meningkat kepada RM75,000 daripada RM65,000 sebuah, pihaknya tidak akan mengurangkan kuantiti pembinaan RRP. – MalaysiaGazette