parlimen
Kamarul Zaman Yusoff

KUALA LUMPUR – Penjawat awam di negara ini telah mengalami fasa perubahan ketara selepas pentadbiran 22 bulan Pakatan Harapan (PH).

Menurut pegawai khas Perdana Menteri, Dr Kamarul Zaman Yusof, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilihat mengambil pendekatan berbeza dengan bersikap amat mesra dengan penjawat awam malah telah beberapa kali menyantuni mereka secara terbuka atau tertutup.

“Perdana Menteri memberi jaminan bahawa beliau akan memfokuskan usaha memberi wajah baharu kepada penjawat awam selain landskap baharu dalam organisasi awam,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Kamarul Zaman berkata, Ismail Sabri telah beberapa kali meluangkan masa bersama para pegawai tertinggi kerajaan dan penjawat awam lainnya antaranya Majlis Berbuka Puasa Perdana Menteri bersama Penjawat Awam di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya dan pertemuan lebih sejam dengan sembilan Ahli Jawatankuasa CUEPACS.

“Dalam pertemuan tersebut, CUEPACS membangkitkan beberapa permasalahan yang dihadapi oleh penjawat awam di zaman Kerajaan PH, dan ini disambut oleh beberapa komitmen Perdana Menteri untuk membantu penjawat awam amnya dan CUEPACS khasnya.

“Turut dibangkitkan ialah cadangan gaji minimum baru penjawat awam RM1800 membabitkan kumpulan Pembantu Awam dan Pembantu Operasi, Cadangan pemberian 2 Kenaikan Gaji Tahunan Khas untuk semua penjawat awam dan Sistem Saraan Baharu.

“Perdana Menteri memberi jaminan akan mempertimbangkan kesemua cadangan CUEPACS ini tertakluk kepada perbincangan yang akan dibuat dengan Menteri Kewangan dan Ketua Setiausaha Negara mengenai kesesuaian pelaksanaan cadangan tersebut,” jelas beliau.

Katanya, ia sangat berbeza dengan pentadbiran di zaman PH yang mana berjanji untuk memberi penghormatan kepada sektor perkhidmatan awam dan meletakkan sektor perkhidmatan awam kembali ke tempat yang sewajarnya.

Malah terdapat seorang Ahli Parlimen DAP turut menyifatkan penjawat awam sebagai membebankan kerajaan manakala seorang Ahli Parlimen DAP lain pula mendesak Kerajaan PH supaya mengurangkan bilangan penjawat awam di dalam negara.

“Seorang lagi Ahli Parlimen DAP pula mencadangkan di Dewan Rakyat supaya Kerajaan PH melakukan pembaharuan dasar berkenaan pemberian pencen pegawai/kakitangan awam yang dikatakan membazirkan bagi mengutamakan penjimatan wang rakyat.

“Seorang EXCO DAP pula menegaskan mengenai betapa Kerajaan PH tidak perlu takut untuk memecat penjawat awam sementara seorang Timbalan Menteri DAP menegaskan mengenai keperluan untuk melakukan proses pembersihan kepada penjawat awam,” katanya lagi. – MalaysiaGazette