Para pelajar yang mendapat keputusan cemerlang bergambar kenangan pada pengumuman keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia, (SPM) Tahun 2021 di SMK Presint 18 (1), Putrajaya. Foto MUHD NA'IM, 16 JUN 2022.

PENGARANG How to Effectively Communicate and Deal with Difficult Teens, Preston Ney
mengatakan bahawa remaja adalah baka yang unik dan sering ambivalen. Menurut Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), ambivalen bermaksud mempunyai perasaan
yang bertentangan terhadap seseorang, sesuatu atau keadaan, seperti rasa benci dan rasa sayang kepada seseorang pada masa yang sama.

“Mereka (remaja) berjuang untuk keperibadian dan mendambakan penerimaan rakan
sebaya. Mereka seakan tahu segala-galanya. Namun, mereka tidak mempunyai banyak
pengalaman. Mereka berasa tidak dapat dikalahkan tetapi sering berasa tidak selamat”.

Komunikasi Remaja Merujuk kepada artikel tentang Empowering Parents, pengarang buku Debbie Pincus membentangkan lima rahsia yang berguna untuk berkomunikasi dengan remaja iaitu:
1. Cuba memahami walaupun kita tidak bersetuju sepenuhnya dengan apa yang dirinya
mahu.
2. Berusaha fokus hanya pada tugas kita sebagai ibu bapa dengan membantu dan
jangan menilai dirinya.
3. Jangan tanya dirinya soalan yang meletakkan dia pada keadaan defensif.
4. Jadikan matlamat anda untuk membantunya berfikir sendiri.
5. Jangan buat apa-apa sehingga anda berdua tenang.

Ada patutnya teori-teori yang diketengahkan oleh Debbie Pincus itu diguna pakai
memandangkan telah keluarnya keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)
2021 semalam. Tentunya anak-anak yang mendudukinya pada Mac lalu telah menerima keputusannya.

Apa tidaknya, jika teori-teori yang diketengahkan itu diguna pakai oleh ibu bapa, tentu anak-anaknya itu akan berasa sangat dihargai walau apa pun keputusan yang mereka peroleh. Sebahagian ibu bapa sering mengulang tayang nostalgia zaman kanak-kanak dan remaja mereka dengan kisah hitam putihnya.

Ada yang fikir kehidupan kanak-kanak itu mudah dan tanpa cabaran atau beban, tetapi
boleh dikatakan andaian sedemikian adalah tidak benar sama sekali. Kehidupan kanak-kanak dan awal remaja penuh dengan cabaran, sama ada tekanan akademik yang dihadapi di sekolah, cabaran yang berkaitan dengan aktiviti sukan atau tekanan rakan sebaya mahupun tekanan media sosial.

Barangkali cabaran ini kelihatan remeh berbanding dengan apa yang kita orang dewasa
hadapi dan lalui dulu, tetapi sewajarnya sebagai ibu bapa menyedari kesannya kepada diri
suatu waktu dulu. Ini penting agar anak remaja kita berkembang secara semula jadi dengan keupayaan untuk menangani cabaran hidup yang berbeza, mereka perlu membesar dengan yakin, mempunyai harga diri dan mempunyai keupayaan untuk menghadapi kegagalan.

Sudah pasti segalanya ini memerlukan proses untuk berkembang dengan perhatian dan
galakan ibu bapa untuk dirinya berkeyakinan mendepani segala yang mendatang.

Bukan kayu ukur

Ketika ini sebahagian pengguna media sosial di Malaysia membuat status tentang SPM. Yang telah melaluinya pada tahun-tahun sebelum ini, seringnya mengatakan SPM itu bukan segala-galanya. Tidak terkecuali ada yang mengungkapkan bahawa SPM itu adalah permulaan untuk sesuatu.

Apa tidaknya, ramai beranggapan dengan memperolehi keputusan SPM yang baik dan
cemerlang, boleh masuk universiti, dapat biasiswa, dapat kerja elok dan bergaji besar.
Senang cakap, itulah perkara paling penting buat seorang pelajar di Malaysia. Namun perlu diakui dan diketahui bahawa keputusan SPM yang baik belum tentu mampu menjadi kayu ukur kehidupan seseorang pada masa akan datang.

Selama dua tahun pendidikan negara seakan terjejas berikutan pandemik yang melanda
negara juga dunia. Belajar secara Pengajaran dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR), dalam
talian (online) memberikan kesan yang mencabar kepada anak-anak. Di sinilah peranan besar ibu bapa dalam mendepani anak-anak remaja yang baru menamatkan zaman sekolah menengahnya. Ibu bapa juga perlu besyukur bahawa anak-anak mereka sudah meningkat remaja.

Raikan keputusan anak

Sebagai ibu bapa, raikan sahaja apa keputusan yang anak anda dapat. Tidak perlu
membandingkan dengan rakan-rakannya atau sesiapa pun. Ucapkan tahniah atas seagala
usaha yang dilakukannya. Tiada siapa yang ingin mencipta kegagalan. Namun, kalau itu yang dapat, tetaplah memberikan ucapan yang baik kepada anak-anak. Raikan mereka dengan selayaknya.

Apatah lagi jika ditanya oleh saudara-mara, jiran tetangga atau rakan sekerja, jawablah yang sebaiknya seperti, “Alhamdulillah. Insya-Allah baik.” Tidak perlu memperkecilkan apa yang anak anda raih. Ketika keputusan yang cemerlang dan banyak A itu menjadi ukuran berjayanya seseorang, itu bukanlah yang utamanya walaupun ia agak penting kepada sebahagian mereka. Namun, kita boleh lihat dunia realiti kini, terkadang tidak memerlukan semua itu untuk berjaya, tetapi memerlukan kesungguhan, kejujuran dan usaha yang gigih.

Oleh yang demikian, sebagai ibu bapa disarankan fokus pada yang positif. Sebagai ibu
bapa, kita perlu memberikan sokongan positif dan meraikan pencapaian anak-anak.
Ini akan membantu membina hubungan kepercayaan dan mengatasi serangan negatif yang berterusan yang mereka bakal hadapi setiap hari. Selain itu, memberi tumpuan kepada pengisian rohani adalah penting. Bantu anak remaja ini memahami erti kehidupan yang lebih mendalam.

Antaranya melihat perkara-perkara yang dihadapi secara holistik dan realistik. Teruskan
memberikan semangat dan motivasi agar mereka tetap rasa disayangi dan dihargai untuk
menempuh kehidupan hari esok juga seterusnya.

Atriza Umar
Felo Nusantara Academy for Strategic Research (NASR)

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast