Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf

KUANTAN – Seorang pesara mengalami kerugian RM4,342,500 dalam tempoh kurang setahun selepas berkenalan dengan seorang lelaki warga Amerika Syarikat melalui Facebook.

Ketua Polis Pahang, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf berkata, mangsa berusia 66 tahun itu mengalami kerugian dan melakukan 190 transaksi antara 2 Disember 2021 sehingga 31 Mei 2022.

Tambah Ramli, suspek bersama seorang rakan sejenayah lagi menggunakan pelbagai alasan termasuk membantu suspek menjelaskan hutang, pembayaran kontrak kerja, upah pekerjaan, kos perubatan serta kos pembayaran peguam urusan harta warisan bapa suspek yang dikatakan mati akibat tekanan masalah hutang.

“Jangan terpedaya dengan pujuk rayu melalui media sosial kerana selalunya pelaku jenayah menggunakan pelbagai muslihat untuk memujuk dan memperdaya mangsa sehingga semua wang dipindahkan ke akaun pelaku jenayah.

“Dalam kes ini, sebanyak 190 transaksi pindahan wang telah dibuat,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette.

Ini bermakna katanya, mangsa telah diperdaya sebanyak 190 kali untuk memindahkan wangnya dalam tempoh yang pendek.

Pengadu telah datang balai polis membuat laporan polis setelah menyedari ditipu oleh sindiket Love Scam.

Kes disiasat di bawah Sesyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan. – MalaysiaGazette