Tengkorak dan tulang dipercayai milik lelaki 50-an ditemui di Taman Rimba Teluk Bahang, Pulau Pinang.

BALIK PULAU – Polis Daerah Barat Daya memohon mana-mana pihak yang kehilangan ahli keluarga atau saudara mara segera menghubungi balai polis berhampiran susulan penemuan tengkorak dan tulang di Taman Rimba Teluk Bahang, di sini.

Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Barat Daya menerusi kenyataan berkata, pihaknya menerima laporan berhubung penemuan tengkorak dan tulang di hutan taman rimba berkenaan pada 24 Disember 2021.

Jelasnya, siasatan lanjut di sekitar lokasi tidak menemui sebarang dokumen atau pengenalan diri mangsa.

“Berdasarkan pakar forensik, tengkorak dan tulang itu dipercayai milik lelaki berusia 50-an.

“Kertas siasatan dibuka sebagai laporan mati mengejut pada masa ini,” katanya menerusi kenyataan di Facebook di sini, hari ini.

Sehubungan itu, polis meminta orang ramai yang kehilangan ahli keluarga supaya segera membuat laporan di balai polis berhampiran atau menghubungi Sarjan Mejar Othman Hamid di talian 016 453 6373. – MalaysiaGazette