Down Syndrome girl, Bella arrives at the Kuala Lumpur Court Complex for the identification session of three witnesses in her neglect and abuse trial involving the founder of Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali. PIX: MUHD NA'IM / MalaysiaGazette / 17 JUNE 2022.
Bella seorang remaja sindrom hadir ke mahkamah bagi sesi pengecaman oleh tiga saksi dalam perbicaraan kes pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali yang didakwa mengabai dan menganiayanya di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto MUHD NA'IM, 17 JUN 2022.

KUALA LUMPUR – Pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali mengalirkan air mata dan menangis teresak-esak ketika enam kanak-kanak termasuk remaja kurang upaya (OKU) Bella dibawa masuk ke dalam Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bagi proses pengecaman.

Kesemua kanak-kanak terbabit hadir ke mahkamah bagi proses pengecaman oleh tiga orang saksi pendakwaan iaitu saksi pertama Zurianty Sudin, saksi kelima Yasmin Nahar Mahmood, 18 dan saksi kelapan Suhana Zam, 40.

Siti Bainun yang tidak bertemu dengan semua kanak-kanak itu sejak Julai tahun lalu mula mengalirkan air mata, mungkin kerana rindu ketika mereka mula di bawa masuk bagi proses pengecaman yang dilakukan oleh Suhana.

Siti Bainun Ahd. Razali hadir ke mahkamah atas pertuduhan mengabai dan menganiaya remaja perempuan sindrom berusia 13 tahun yang dikenali sebagai Bella di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 17 JUN 2022.

Tertuduh yang didakwa mendera dan mengabaikan Bella tidak dapat melihat kanak-kanak terbabit kerana mereka berada di sebalik tirai atau penghadang yang disediakan oleh mahkamah bagi melindungi identiti mereka daripada orang awam.

Sekali sekala Siti Bainun cuba melihat kanak-kanak berkenaan melalui ruangan kecil daripada ruang celahan tirai. Dia sesekali dilihat mengesatkan air mata yang mengalir menggunakan tisu yang dibawa.

Tertuduh menangis sepanjang proses pengecaman yang melibatkan tiga orang saksi berkenaan berlangsung selama kira-kira 20 minit bermula 10.50 pagi.

Esakan pengasas Rumah Bonda itu kedengaran kuat setiap kali kanak-kanak tersebut di bawa masuk ke dalam mahkamah iaitu sebanyak tiga kali untuk dicamkan oleh ketiga-tiga saksi.

Salah seorang peguam Siti Bainun, Asiah Abdul Jalil  merapati tertuduh dan berkata sesuatu kepada tertuduh. Siti Bainun kemudian dilihat hanya menggelengkan kepala sambil mengesat mata.

Daripada keterangan saksi, Bella hadir memakai baju berwarna biru dan bertudung kelabu dengan bunga berwarna merah jambu.

Sebelum itu peguam Siti Bainun menggunakan Seksyen 265A Kanun Prosedur Jenayah bagi membantah penggunaan tirai berkenaan kerana ia menghalang kanak-kanak terbabit melihat tertuduh.

Menurut akta itu pihak pendakwaan perlu membuktikan penggunaan tirai itu adalah perlu bagi melindungi kanak-kanak berkenaan.

Nur Aminahtul Mardiah Md Nor menegaskan adalah penting untuk mahkamah melihat reaksi pertemuan antara kanak-kanak dan Siti Bainun tanpa penggunaan tirai.

“Saya mohon tirai dibuka bagi pihak pembelaan diberikan peluang untuk mencatatkan reaksi anak-anak ketika melihat Siti Bainun bagi keadilan kepada semua pihak.

“Di bawah Seksyen 265A tidak ada sebarang pembuktikan yang telah saya katakan tadi telah diberikan oleh pihak pendakwaan,” katanya.

Nur Aminahtul Mardiah berkata, bagi membolehkan ia dilaksanakan pihak pendakwaan boleh meminta mahkamah agar galeri awam dikosongkan.

Bagaimanapun Hakim Izralizam Sanusi berpendapat tirai berkenaan tidak perlu dialihkan kerana prosiding yang dijalankan hanyalah proses pengecaman oleh saksi-saksi terbabit ke atas kanak-kanak berkenaan.

Siti Bainun, 30, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya remaja perempuan sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah kondominium di Wangsa Maju di sini antara Februari dan Jun 2021.

Pertuduhan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.-MalaysiaGazette