Datuk Seri Shahidan Kassim. Foto HAZROL ZAINAL, 18 JUN 2022.

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hanya menerima sewaan RM850 sebulan bagi setiap tiang lampu pintar bersepadu yang dibina oleh syarikat terbabit dan telekomunikasi.

Itu penjelasan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim mengenai isu pertukaran tiang lampu membabitkan nilai RM30.75 juta.

Jelasnya lagi, projek itu bukan di bawah seliaan DBKL dan ia hanya memberikan kebenaran untuk membina tiang lampu dwifungsi sebagai lampu dan antena.

“Projek ini daripada syarikat berkenaan dengan telko dan mereka hanya minta kebenaran  untuk membina tiang lampu dwifungsi sebagai lampu dan antena.

“Kami tidak terlibat untuk membina. Yang bina adalah syarikat berkenaan dan syarikat telco.

“Jadi syarikat itu mungkin dapat daripada telco dan buat subkontraktor kepada mana-mana syarikat bina tiang lampu.

“DBKL hanya dapat sewaan setiap tiang lampu RM850 sebulan,” katanya kepada media selepas mengiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam program penyerahan kunci Residensi Wilayah Keluarga Malaysia Sky Awani 3 di ibu negara, hari ini.

Baru-baru ini DBKL menafikan pernah memberi kebenaran kepada mana-mana pihak melantik syarikat Sarawak Consolidated Industries Bhd (SCIB) melakukan kerja bagi pihaknya.

Shahidan menjelaskan projek pembinaan tiang berkenaan kini sudah melebihi 1,000 unit.

Jelasnya, setakat ini sudah lebih 1,000 tiang dibina dan bukannya 200.

Untuk rekod, DBKL dalam satu kenyataan berkata, ia tidak pernah melantik SCIB atau mana-mana anak syarikatnya atau memberikan kebenaran kepada pihak lain untuk melantik SCIB bagi melaksanakan kerja perkhidmatan kejuruteraan untuk penggantian tiang lampu pintar bersepadu DBKL bagi pihaknya.

Setakat ini, DBKL melantik 29 syarikat panel yang mempunyai lesen network facilities provider (NFP) secara berperingkat sejak tahun 2013 bagi melaksanakan penggantian tiang lampu sedia ada kepada tiang lampu berintegrasi sistem pemancar telekomunikasi (dwifungsi) di sekitar Kuala Lumpur. – MalaysiaGazette