Zairil (dua dari kanan) menyampaikan replika cek kepada pengusaha bas sekolah di Pulau Pinang.

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang memperuntukkan kira-kira RM1.15 juta kepada pemandu teksi dan pengusaha bas di negeri ini bagi mengurangkan beban golongan tersebut.

Exco Infrastruktur dan Pengangkutan, Zairil Khir Johari berkata, daripada jumlah itu sebanyak RM562,500 telah dibayar kepada 1,523 pemandu teksi dan 352 pengusaha bas sekolah pada sambutan Tahun Baru Cina.

Jelas beliau, baki RM587,100 pula diagihkan kepada 1,574 pemandu teksi dan 383 pengusaha bas sekolah ketika perayaan Hari Raya Aidilfitri pada Mei lalu.

“Sejak insentif ini diperkenalkan pada tahun 2013 sehingga kini kerajaan negeri telah menyalurkan RM15.48 juta kepada golongan berkaitan.

“Insentif sebanyak RM300 ini dibayar secara tunai sebanyak dua kali setahun kepada pemandu teksi dan pengusaha bas sekolah.

Insentif sebanyak RM300 itu turut diperuntukkan bagu pemandu teksi di negeri ini.

“Bagaimanapun, pembayaran dilakukan secara transaksi online pada tahun 2020 susulan pandemik Covid-19 dan kini dinaik taraf dan ditambah baik dengan menggunakan sistem iSejahtera yang dibangunkan oleh kerajaan negeri sendiri,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Tambah beliau, pihaknya berhadap insentif yang diberi ini digunakan secara berhemah untuk membantu keluarga dan meringankan beban pemandu teksi dan pengusaha bas sekolah dalam urusan seharian.

“Sebagai duta kecil kepada Kerajaan Negeri, diharapkan semua pemandu teksi dapat menjaga imej baik terutama ketika membawa pelancong dari dalam dan luar negara memandangkan pintu sempadan telah dibuka dan sektor pelancongan semakin rancak,” kata Zairil. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast