KUALA LUMPUR – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dengan kerjasama Shopee menganjurkan Kempen Pay With Shopee! untuk para peminjam.
Menurut Ketua Eksekutif PTPTN, Encik Ahmad Dasuki Abdul Majid, kempen ini diadakan untuk menggalakkan peminjam PTPTN membuat bayaran balik pinjaman pendidikan secara dalam talian.
Katanya, dalam masa yang sama kempen berkenaan sebagai penghargaan kepada yang komited membuat membayar balik pinjaman secara konsisten.
“Kaedah bayaran balik pinjaman PTPTN melalui Shopee telah mula diperkenalkan pada tahun 2021 sebagai salah satu inisiatif untuk menggalakkan pelanggan PTPTN melakukan transaksi pembayaran melalui saluran bayaran dalam talian.
“Kemudahan saluran bayaran dalam talian ini juga adalah selaras dengan Teras Strategik ke-5, Pelan Strategik PTPTN 2021-2025 iaitu memperkasa organisasi ke arah lebih dinamik dan cemerlang melalui pendigitalan bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kepada pelanggan tidak terjejas dan sentiasa berada di tahap terbaik,” katanya menerusi kenyataan.
Tambah beliau, kerjasama ini bukti komitmen dan kesungguhan perbadanan tersebut untuk memastikan peminjam melaksanakan bayaran balik dengan cepat, mudah dan selamat.
“PTPTN juga amat mengalu-alukan kerjasama strategik daripada pelbagai agensi lain untuk membantu dan memudahkah peminjam membuat bayaran balik pinjaman mereka. Sesungguhnya bayaran balik pinjaman yang dibuat oleh para peminjam amat bermakna dan penting demi kelestarian pinjaman PTPTN kepada generasi akan datang,” katanya lagi.
Ahmad Dasuki berkata, Kempen Pay With Shopee! yang bermula 15 Jun hingga 15 Julai ini terbuka kepada semua pengguna aplikasi ShopeePay yang membuat bayaran balik pinjaman.
Katanya lagi, peminjam berpeluang menerima baucar sebanyak 10 peratus daripada jumlah bayaran, tertakluk kepada jumlah maksimum RM5 kepada 60 pengguna aplikasi Shopee terawal setiap hari semasa tempoh kempen, kecuali pada 7 Julai 2022.
Dalam masa yang sama, seramai 120 pengguna terawal pada 7 Julai berpeluang menerima baucar diskaun berganda sempena bulan penubuhan PTPTN dan Mega Sales Shopee.
“Setiap pengguna layak menerima ganjaran baucar diskaun sekali sahaja dalam tempoh kempen; dan pengguna yang berjaya menerima baucar diskaun perlu membuat penebusan terlebih dahulu sebelum membuat transaksi bayaran balik pinjaman,” kata beliau. – MalaysiaGazette