Mohd Shahrizal menyampaikan bantuan wang tunai kepada seorang murid di sebuah sekolah di Kedah, semalam

KEDAH – Yayasan Bank Rakyat (YBR) menyediakan peruntukan bantuan persekolahan bernilai RM125,000 kepada para pelajar bagi membantu mereka meneruskan sesi persekolahan.

Jumlah peruntukan itu melibatkan 1,250 murid dan pelajar dari sekolah rendah serta sekolah menengah sekitar Larut, Pokok Sena, Jerai, Nibong Tebal dan Kulim Bandar Baharu.

Menurut Ahli Lembaga Pemegang Amanah YBR, Datuk Mohd Shahrizal Sahri, sumbangan itu diharapkan dapat membantu mereka dari keluarga B40 meringankan urusan kewangan.

“Program bantuan ini bagi membolehkan mereka menyediakan kelengkapan persekolahan dari segi pembelian set baju, kasut dan stoking atau beg sekolah mengikut kesesuaian masing-masing,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Turut hadir dalam sesi penyampaian itu, Pengurus Besar YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani dan Pengurus Jabatan Komunikasi Korporat YBR, Mohamad Ghazali Zainal Abidin.

Mohd Shahrizal (tengah) menyampaikan replika cek sumbangan bantuan persekolahan kepada wakil sekolah dan ibu bapa.

Kata Mohd Shahrizal, YBR cakna dengan situasi masyarakat yang terkesan akibat gelombang Covid-19 yang melanda dunia dan negara selama lebih dua tahun dan juga keadaan ekonomi tidak menentu.

“Kita harap bantuan persekolahan dalam bentuk wang tunai sebanyak RM100 ini sedikit sebanyak membantu ibu bapa atau penjaga dalam menanggung sesi persekolahan anak mereka.

“Bantuan ini disalurkan kepada mereka yang layak sahaja dan diharapkan akan memberi suntikan semangat untuk anak-anak ini terus menuntut ilmu serta sebagai tanda ikhlas YBR membantu mereka yang memerlukan dalam meneruskan kehidupan,” katanya.

Beliau berkata, sehingga kini seramai 60,558 murid dan pelajar telah menerima manfaat melalui bantuan persekolahan YBR dengan jumlah peruntukan sebanyak RM6.72 juta sejak 2018.

Bagi tahun ini, katanya, sejumlah RM3 juta diperuntukan dalam program bantuan persekolahan. – MalaysiaGazette