Nafuzi Zain.

KUALA TERENGGANU – Pengendali Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain menganggap kejayaan menundukkan KL City FC dalam aksi Liga Super malam tadi sebagai permulaan baik selepas hampir dua bulan tanpa perlawanan kompetitif.

Malah jurulatih muda berusia 44 tahun itu turut menyifatkan kejayaan itu sebagai pencetus momentum positif untuk anak buahnya terus bangkit mencipta kemenangan dalam siri perlawanan akan datang.

“Setiap perlawanan Liga Super amat mencabar dan bukannya satu tugas mudah untuk menang.

“Jadi saya amat berpuas hati kerana pemain telah berjaya menghadiahkan tiga mata kepada penonton setia skuad Penyu,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan aksi Liga Super  antara TFC dengan KL City FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin malam tadi.

Pada perlawanan tersebut, TFC berjaya menundukkan skuad bimbingan Bojan Hodak 2-0 hasil jaringan Habib Haroon dan Manuel Ott masing-masing pada minit ke-74 dan 80.

Dengan kemenangan itu, TFC melonjak ke kedudukan keenam dari tangga ke-11 Liga Super dengan sembilan mata.

Sementara itu, Hodak berkata, meskipun anak buahnya berjaya mencipta beberapa peluang mendapatkan gol, namun masih gagal diterjemahkan ke bentuk jaringan disebabkan ketumpulan penyerang.

“Terengganu mempunyai ramai pemain berkualiti. Mereka berbahaya. Kita berjaya menyekat pergerakan Sherman (Kpah Sherman) dan Tchetche (Kipre Tchetche), namun pemain yang tidak dijangka pula menjaringkan gol,” katanya. – Bernama