EMOSI sejahtera menjadi asas dalam melahirkan pelajar yang cemerlang. Kebijaksanaan pelajar dalam menguruskan komitmen dan tanggungjawab menjadi satu keperluan penting untuk terus kekal berjaya. Namun, generasi muda atau golongan belia kini mudah dilanda masalah gangguan emosi disebabkan pelbagai cabaran yang perlu dilalui. Hal ini dilihat ketara berlaku terhadap mereka yang bergelar pelajar universiti.
Keperluan untuk memenuhi pencapaian yang baik menjadi konflik dalam diri pelajar sehinggakan mereka gagal untuk mengawal tekanan emosi dengan baik. Pentingnya belia bukan sahaja terletak kepada bilangan mereka yang ramai dan sebagai tenaga utama di dalam masyarakat, tetapi juga dari segi peranan sebagai penyambung antara satu generasi dengan satu generasi. Justeru, usaha untuk melahirkan belia yang seimbang dari aspek emosi ini amatlah penting dan tidak harus dipandang enteng oleh pelbagai pihak.
Oleh yang demikian, terdapat beberapa faktor yang menyebabkan berlakunya tekanan emosi. Antaranya adalah disebabkan, masalah pembelajaran, konsep kendiri yang rendah, masalah keluarga, kerisauan terhadap kerjaya pada masa hadapan dan pengurusan masa. Faktor ini merupakan antara punca utama pelajar gagal dalam memberikan hasil yang baik dalam setiap penilaian peperiksaan yang diambil. Oleh itu, perkara ini perlu dipandang serius oleh setiap institusi pengajian tinggi demi mencapai matlamat untuk melahirkan pelajar yang berjaya dan hebat.
Justeru, beberapa langkah telah dikenal pasti untuk mengatasi masalah yang dihadapi. Pertama, masalah pembelajaran yang dihadapi oleh pelajar boleh diatasi dengan mewujudkan belajar secara berkumpulan dan kerap bertanya kepada pensyarah sekiranya tidak memahami dengan jelas sesuatu perkara. Kedua, masalah konsep kendiri rendah merupakan satu halangan terhadap pelajar untuk terus kekal berjaya. Oleh yang demikian, pihak jawatankuasa pelajar perlu giat melaksanakan program untuk pemantapan konsep kendiri seperti penganjuran bengkel motivasi, aktiviti yang boleh merangsang kemahiran sosial dan meningkatkan konsep kendiri pelajar.
Ketiga, masalah keluarga yang dihadapi pelajar sering melibatkan konflik yang berlaku dalam keluarga tersebut. Oleh itu, perkhidmatan kaunseling menjadi platform untuk pelajar menyelesaikan masalah bersama bantuan kaunselor bertauliah.
Seterusnya, faktor kebimbangan terhadap kerjaya pada masa hadapan boleh diatasi dengan membuka minda pelajar untuk mengetahui saluran yang betul untuk memohon pekerjaan.
Hal ini dapat didedahkan kepada pelajar menerusi program minggu kerjaya yang mana pelajar boleh berjumpa dengan agensi-agensi pekerjaan sama ada kerajaan atau swasta untuk mendapat maklumat lanjut permohonan pekerjaan dan mewujudkan rangkaian perhubungan (network) untuk memudahkan proses pencarian kerja kelak. Manakala bagi faktor pengurusan masa, pendedahan teknik berkesan dapat dipelajari oleh pelajar menerusi program ceramah berkaitan tips yang baik dan hebahan poster mengenai tips yang bijak juga dapat membantu pelajar dari dibelenggu masalah pengurusan masa yang tidak efisien.
Kesimpulannya, perhatian yang serius perlu diberikan kepada pelajar universiti untuk membantu golongan ini mencapai kecemerlangan akademik di samping sihat sejahtera dari aspek emosi, minda dan jasmani. Hal ini kerana, mereka merupakan generasi perintis dalam membangunkan negara dan menjadi tunggak kejayaan sebuah negara.
Oeh itu, penyediaan program yang sepatutnya perlu kerap dilakukan dan pemantauan prestasi pembelajaran pelajar juga perlu diberi perhatian untuk mengelak terjadinya masalah lain seperti stres dan keciciran dalam pembelajaran. Masalah gangguan emosi perlu diatasi dengan baik dan diselesaikan untuk membantu para pelajar terus fokus dalam tempoh pembelajaran dan pengajaran. Hal ini seterusnya dapat melahirkan para graduan yang berkualiti serta mempunyai jati diri yang kuat sehingga membolehkan mereka duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi secara global.
Oleh: Dr. Abdul Rashid Bin Abdul Aziz, adalah Pensyarah Kanan,
Program Kaunseling, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia