Polis  kini sedang memburu empat individu dipercayai ahli geng jenayah terancang membabitkan penyeludupan dadah yang berjaya ditumpaskan sebelum ini.

GEORGE TOWN – Polis  kini sedang memburu empat individu dipercayai ahli geng jenayah terancang membabitkan penyeludupan dadah yang berjaya ditumpaskan sebelum ini.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, sebelum ini, pihaknya sudah menahan dan mendakwa 14 individu termasuk dua wanita membabitkan sindiket sama.

Jelas beliau, pihaknya percaya pemburuan empat suspek yang terdiri daripada warga tempatan dan dua warga Indonesia itu akan melumpuhkan sindiket tersebut sepenuhnya.

Suspek yang diburu ialah K. Harivin Raj, 25; yang beralamat terakhir di Mutiara Court Lorong Delima 20, Island Glade di sini manakala B.Jagandran, 47, pula menetap di Lorong 18, Taman Sejahtera Alam, Bukit Mertajam.

“Lelaki warga asing yang diburu pula dikenali sebagai Juanda serta Afrizal,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang hari ini.

MalaysiaGazette difahamkan suspek warga asing tersebut merupakan pembekal dadah di Kuala Lumpur manakala warga tempatan itu pula pembekal bagi negeri ini.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

ARTIKEL BERKAITAN

Kumpulan jenayah terancang Geng Chandra didakwa hari ini

Terdahulu, seramai 14 individu termasuk dua wanita dan seorang warga Bangladesh yang menganggotai kumpulan jenayah terancang ‘Geng Chandra’ didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Mereka ialah S. Boharaj, 29; Milon Masud, 30; Mohd. Azlisham Che Azmi, 38; Noor Wadia Aziz, 39, Mohd Fitri Odus, 39; Muhamad Fithri Mohamed Shafe, 41; Marzuki Osman, 42; dan S. Puspakaran, 45.

Turut dituduh bersama ialah CP. Maria Prakit, 48; K. Subramaniam dan Rosman Mohd Ismail, masing-masing berusia 49 tahun; A. Raymond, 51; A. Santeran, 55 dan A. Balasubramaniam, 61.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang ‘Geng Chandra’ antara Januari 2016 hingga 12 Mac 2021 di dalam daerah Timur Laut di sini. – MalaysiaGazette